Katamaran: Juragan, pengurus syarikat dipenjara dua tahun

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara dua tahun masing-masing terhadap juragan dan pengurus syarikat pelancongan mengendalikan perkhidmatan bot kataramaran yang karam di perairan Pulau Mengalum ketika membawa pelancong China pada 2017.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu ke atas Sharezza Salian, 27, dan Leong Vin Jee, 46, selepas masing-masing didapati bersalah terhadap empat dan enam pertuduhan dengan hukuman antara enam bulan dan dua tahun.

Hakim turut memerintahkan kedua-dua tertuduh itu menjalani hukuman secara serentak mulai hari ini.

Sharezza dan Leong didakwa mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga membahayakan nyawa 20 penumpang pelancong China membabitkan 12 wanita dan lapan lelaki ketika insiden bot karam itu pada 28 Jan 2017.

Kedua-dua mereka turut dituduh mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dua lelaki dan dua wanita warga China dalam kejadian berkenaan.

Sharezza dan Leong turut dituduh mengikut Peraturan 13 dan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (Lesen kapal kecil) 2008 kerana gagal menyediakan peralatan keselamatan dalam bot.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Chung Ket Siew, 66, yang merupakan pemilik dan pengarah syarikat pelancongan itu dibebaskan di bawah bon berkelakuan baik selama dua tahun.

Wanita itu didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengikut Peraturan 9 dan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2008 kerana gagal mengemukakan lesen membawa bot penumpang serta tidak memberikan peringatan dan melaporkan kepada Leong mengenai Sharezza sebagai juragan kepada pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Hakim membebaskan Chung selepas mengambil kira umur dan keadaan kesihatannya kerana dia disahkan menghidap kanser payudara.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh membayar kos mahkamah sebanyak RM3,000 atau penjara 60 hari jika gagal.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nartiah F Mirchelle Sambatan, manakala Sharezza diwakili peguam Hamid Ismail, Michelle Russana Usman dan Benazir Japiril Bandaran.

Leong dan Chung pula diwakili peguam Edward Paul dan Elffie Johnny.

Dalam kejadian itu, bot katamaran dikaitkan dengan ketiga-tiga tertuduh berkenaan membawa 31 penumpang masing-masing 28 pelancong China dan tiga kru.

Empat pelancong dilaporkan maut, manakala lima termasuk seorang kru tidak ditemui sehingga operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 2 Jun 2017. - Bernama