Pembangkang fokus ke hadapan

Howard Lee ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Harian yang bertajuk Keluarga Malaysia Penawar Luka Rakyat pada Selasa.
Howard Lee ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Harian yang bertajuk Keluarga Malaysia Penawar Luka Rakyat pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda DAP, Howard Lee berpendirian pembangkang akan terus bersedia bekerjasama dengan kerajaan dalam sebarang tindakan yang akan membawa kebaikan kepada rakyat.

Beliau berkata, selaku wakil pemuda pembangkang, beliau juga sedia memberikan komitmen dan tertunggu-tunggu pasukan yang akan menganggotai kabinet kerajaan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya barisan kabinet yang akan dibentuk itu akan menjadi kayu pengukur terhadap pembaharuan dan keyakinan dalam ruang kerjasama yang ditawarkan.

"Saya sangat terbuka hati, DAP dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah nyatakan dengan jelas akan bekerjasama jika kerajaan mahukan kerjasama daripada pembangkang.

"Namun sekarang ini 'bola' ada di kaki pemerintah iaitu Perdana Menteri untuk mereka bentuk kabinet dan pentadbirannya. Itu akan memberi petanda kepada kita sama ada ia adalah penerusan pentadbiran sebelum ini atau tidak.

"Sekiranya kita nampak ada pendekatan berbeza iaitu tubuh kabinet bersandarkan keperluan semasa, mungkin itu akan bawa pembaharuan dan bawa keyakinan,"katanya ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Harian yang bertajuk Keluarga Malaysia Penawar Luka Rakyat pada Selasa.

Wacana itu dikendalikan moderator, Ismail Adnan dan turut menampilkan panel yang terdiri daripada Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin, Penganalisis Politik, Dr Sharifah Shahirah Syed Sheikh dan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi.

Pada masa sama, Howard Lee menegaskan, semua pihak juga tidak lagi wajar terus menuding jari terhadap parti atau individu.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya kita perlu bertindak ke hadapan, luka Malaysia tidak perlukan penawar, kita perlukan pembedahan bukan untuk menyembuhkan tetapi buang yang menjadi punca sakit," katanya.