Malaysia, China teroka peluang perniagaan teknologi, kepakaran digital

Saifuddin mengadakan lawatan kerja ke Shanghai dan Huangzhou pada 23 hingga 26 Februari lalu.
Saifuddin mengadakan lawatan kerja ke Shanghai dan Huangzhou pada 23 hingga 26 Februari lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA – Malaysia dan China akan mengembangkan lebih banyak peluang perniagaan khususnya yang berlandaskan teknologi dan kepakaran industri digital termasuk meneroka potensi di sektor makanan dan minuman.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha tersebut dirintis semasa lawatan kerja ke China baru-baru ini bertujuan untuk membantu mempromosikan jenama perniagaan francais serta produk makanan Malaysia di negara tersebut.

"Shanghai khususnya berpotensi menjadi antara lokasi bagi mengembangkan dagangan Malaysia dengan menerokai peluang-peluang dalam sektor makanan dan minuman.

"Para pengusaha perniagaan di Malaysia boleh melihat serta mempelajari penggunaan teknologi dan kepakaran dan industri digital yang telah diguna pakai oleh industri di China," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin yang mengadakan lawatan kerja ke Shanghai dan Huangzhou pada 23 hingga 26 Februari lalu itu turut menyertai sesi dialog perniagaan China – Peluang pasaran Makanan ASEAN dan mengadakan perbincangan dengan pihak China Cooperative Trade Enterprise Association (CCTEA) yang diketuai oleh Presidennya, Hao Yanling.

CCTEA merupakan sebuah syarikat koperasi terbesar di negara China yang mempunyai lebih daripada 100,000 ahli dan separuh daripada ekuitinya dimiliki oleh pemerintah China dengan nilai transaksi CCTEA pada tahun 2018 sahaja mencatatkan RMB 5.4 trillion iaitu bersamaan dengan USD800 billion.

Saifuddin ketika ditemui pemberita dalam lawatannya ke negara itu, baru-baru ini.
Saifuddin ketika ditemui pemberita dalam lawatannya ke negara itu, baru-baru ini.

"Pihak CCTEA telah mempelawa para usahawan Malaysia supaya dapat menyertai Imported Food Exhibition Centre di Shanghai yang dimiliki oleh CCTEA di mana penyertaan ini dapat dijadikan platform oleh syarikat-syarikat jenama Malaysia untuk menembusi pasaran China dengan lebih meluas.

Artikel Berkaitan:

"Semasa sesi dialog ini juga, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani oleh pihak Sunshine Wholesale Mart Sdn. Bhd daripada Malaysia dengan pihak CCTEA bagi tujuan memudahkan penembusan jenama-jenama Malaysia ke outlet-outlet gabungan CCTEA di negara China," ujarnya.

Sementara itu, Saifuddin turut meninjau operasi perniagaan Boduo Group di Yuhang, Hangzhou yang telah berkembang hingga di peringkat antarabangsa sebagai syarikat integrasi makanan dan minuman menggunakan konsep francais dari peringkat huluan sehingga hiliran.

Boduo Group kini mempunyai 15,000 francais outlet dan telah berada di 13 buah negara di luar China serta turut merancang membuka perniagaannya di Malaysia dan dipelawa menyertai Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) yang dijadualkan pada 5 hingga 7 April 2019.

Selain itu, beliau turut membantu mempromosikan jenama francais Malaysia dengan pembukaan outlet jenama Tealive di Sun Moonlight Centre, Shanghai. Ia adalah syarikat minuman bubble tea Malaysia yang diasaskan oleh Loob Holdings (Loob).

Tealive juga telah merancang membuka sebanyak 500 cawangan di negara China dalam masa tiga tahun melalui pelan perniagaan strategik dan tersusun Loob dengan kerjasama syarikat tempatan China iaitu Zhejiang Boduo International Trade dan Shanghai Panfei International Trade.

Ketika melakukan lawatan kerja di warehouse JD.Com di Shanghai, Saifuddin turut berkesempatan melihat operasi automasi sepenuhnya yang digunakan syarikat itu bagi menjalankan kerja-kerja pemunggahan dan pengagihan barang-barang untuk dihantar kepada para pelanggannya.

JD.Com mengguna pakai peralatan serta teknologi terkini seperti penghantaran menerusi drone delivery, gudang automasi penuh dan robot penghantaran automasi.

Syarikat tersebut yang telah mempunyai jaringan lebih 1,000 pusat pengedaran seluruh dunia juga membangunkan sistem rantaian untuk business to business secara digital. Penggunaan teknologi baharu seperti itu sesuai dikembangkan di Malaysia bagi membolehkan peningkatan kecekapan operasi perniagaan di negara ini.