'Walau apa terjadi, saya tetap akan jaga adik-adik'

Nazurah
Nazurah
A
A
A

RAWANG - “Rasa sedih dan rindu timbul setiap kali selepas solat," kata Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, yang kehilangan ibu bapanya akibat Covid-19 pada Julai lalu.

Nazurah Nabilah berkata, dia bagaimanapun dapat mengawal perasaan tersebut untuk menjaga tujuh adiknya selepas kematian ayah, Benyajeed Bernie, 45, dan ibu, Noraini Ibrahim, 43.

Pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Politeknik Mersing itu juga sudah dipindahkan ke Politeknik Sultan Azlan Shah di Behrang, Perak pada minggu lalu bagi memudahkannya menjaga adik-adiknya.

“Sebelum ini saya pernah jaga mereka, jadi bukan satu masalah kepada saya untuk berbuat demikian.

Saya akan teruskan pelajaran saya sampai akhir semester.

“Walau apa pun terjadi, saya tetap akan jaga adik-adik saya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Bukit Beruntung di sini pada Selasa.

Nazurah (kiri) bersama adik-adiknya ketika ditemui di rumah mereka di Bukit Beruntung, Rawang pada Selasa.
Nazurah (kiri) bersama adik-adiknya ketika ditemui di rumah mereka di Bukit Beruntung, Rawang pada Selasa.

Nazurah Nabilah berkata, adiknya, Muhammad Muzakkir Benyajeed, 18, turut ditawarkan bekerja di Boustead Holdings selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan melawat mereka lapan beradik pada Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya, Muhammad Muzakkir menolak tawaran tersebut kerana ingin bekerja di sekitar kawasan rumah bagi membantunya menjaga adik-beradik lain.

Artikel Berkaitan:

“Tapi kalau dia rasa boleh menggalas tanggungjawab walaupun bekerja di tempat yang jauh, dia akan pergi juga nanti,” ujarnya.

Pada Julai lalu, episod duka menimpa lapan beradik itu bermula apabila bapa mereka menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang pada 16 Julai lalu, diikuti ibu mereka dua hari selepas itu, kedua-duanya akibat jangkitan Covid-19.

Selain Nazurah Nabilah dan Muhammad Muzakkir, enam lagi ialah Nurhani Nabilah, 16, Numasuhah Nabilah, 14, Muhammad Benjamin, 13, Muhammad Bennazir Sulaiman, 10, Nur Rawdhah Nabilah, 8 dan Nur Qurratu Ain Nabilah, 4.