Anwar zahir rasa sedih pemergian Razali

Pada 13 Mei lepas, Perdana Menteri meluangkan masa menziarahi Razali di kediamannya yang pada ketika itu berada dalam keadaan uzur.
Pada 13 Mei lepas, Perdana Menteri meluangkan masa menziarahi Razali di kediamannya yang pada ketika itu berada dalam keadaan uzur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih atas pemergian pengasas dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang pertama, Dr Razali Nawawi yang meninggal dunia di Hospital Pakar An-Nur pada 6.45 pagi Khamis.

Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata, Allahyarham merupakan seorang penjana dan pendiri ABIM yang gigih bersama beliau dan rakan yang lain, selain merupakan antara guru dalam perjuangan penuh liku.

"Saya sempat menziarahi beliau minggu lepas yang sedang uzur. Semoga ALLAH merahmati rohnya dan memaafkan semua kesalahannya.

"Mendoakan keluarga dan insan tersayang yang ditinggalkan tabah dan dikurniakan kekuatan oleh ALLAH SWT. Innalillahi wainnailaihirajiun,” katanya.

Pada 13 Mei lepas, Perdana Menteri meluangkan masa menziarahi Razali di kediamannya yang pada ketika itu berada dalam keadaan uzur.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz ketika dihubungi Bernama berkata, Razali, 83, meninggal dunia akibat kanser prostat.

Jenazah Allahyarham akan diuruskan di Masjid Al-Umm, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi, Selangor dan solat jenazah dijangka diadakan selepas Zohor.

Razali menjadi Presiden ABIM pertama pada 1972 dan telah memperkenalkan sistem usrah sebelum diambil alih oleh Anwar sebagai Presiden ABIM yang kedua pada 1974. - Bernama