Bencana kepala air: Kedah ucap terima kasih kepada PM

Ismail Sabri (tiga dari kiri) serahkan bantuan kepada mangsa terjejas akibat tragedi kepala air di daerah Yan pada Isnin. Turut kelihatan Muhammad Sanusi (empat dari kiri). - Foto ihsan Unit Penerangan Darul Aman
Ismail Sabri (tiga dari kiri) serahkan bantuan kepada mangsa terjejas akibat tragedi kepala air di daerah Yan pada Isnin. Turut kelihatan Muhammad Sanusi (empat dari kiri). - Foto ihsan Unit Penerangan Darul Aman
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meluluskan peruntukan segera berjumlah RM75 juta bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur akibat bencana kepala air di daerah Yan dan Kuala Muda, pada Isnin.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya juga mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri bahawa kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih rumah penduduk terjejas yang berjumlah RM3 juta.

Menurutnya, kerajaan negeri menghargai kesudian Ismail Sabri melakukan lawatan sehari ke negeri tersebut khususnya melawat kawasan bencana banjir lumpur di kawasan yang terjejas.

"Bagi pihak mangsa, setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan Perdana Menteri untuk memberikan sumbangan RM5,000 bagi yang kehilangan ahli keluarga dalam bencana ini dan RM500 bagi keluarga yang terjejas.

"Kesudian Perdana Menteri untuk menimbang peruntukan tambahan, khususnya bagi golongan petani yang tanah sawah mereka ditimbuni lumpur dibawa arus banjir, amat dialu-alukan oleh kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Peruntukan segera RM78 juta baik pulih kawasan bencana di Kedah

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, daerah Yan merupakan kawasan pengeluaran padi yang tinggi dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Menurutnya, kehadiran Ismail Sabri pada lawatan rasmi pertama ke Kedah untuk melihat sendiri kesan tragedi yang berlaku serta memberi nasihat kepada mangsa yang terjejas terutama keluarga yang kehilangan insan tersayang dapat meredakan sedikit kesedihan ditanggung mereka

Artikel Berkaitan:

"Bencana sememangnya membawa kemusnahan dan ia sudah tentu amat mendukacitakan namun kehadiran Perdana Menteri membuktikan sikap prihatin dan ambil beratnya selaku pemimpin tertinggi kerajaan terhadap nasib rakyat untuk meneruskan kehidupan dalam situasi mencabar sekarang," katanya.

Semalam media melaporkan, kerajaan persekutuan meluluskan RM75 juta bagi membaik pulih sekitar Yan dan Merbok yang mengalami bencana banjir kilat pada 18 Ogos lalu.

Ismail Sabri berkata, peruntukan tersebut termasuk RM50 juta menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi menaik taraf sungai dan sistem saliran sepanjang 27 kilometer.