Peruntukan segera RM78 juta baik pulih kawasan bencana di Kedah

Ismail Sabri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada waris mangsa yang terkorban dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai pada Isnin.
Ismail Sabri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada waris mangsa yang terkorban dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai pada Isnin.
A
A
A

YAN - [DIKEMASKINI] Kerajaan Persekutuan memperuntukkan bantuan segera sebanyak RM78 juta untuk membaik pulih kerosakan akibat fenomena kepala air Gunung Jerai di daerah Yan dan Kuala Muda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu berdasarkan penilaian awal oleh beberapa kementerian terlibat.

Menurutnya, antara yang terlibat ialah membaiki dan naik taraf sistem saliran sepanjang 27 kilometer berjumlah RM5 juta serta pembinaan dua jambatan baharu sebanyak RM23 juta.

"Selain itu sebanyak RM3 juta turut diperuntukkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi membaiki rumah mangsa yang terjejas dalam tragedi berkenaan.

"Saya harap peruntukan yang diluluskan ini dapat membantu menyelesaikan isu berbangkit di kedua-dua kawasan yang berpunca daripada limpahan kepala air itu," katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan terjejas di Merbok dan Titi Hayun, Yan di sini pada Isnin.

Ismail Sabri mengadakan lawatan di kawasan bencana banjir di Titi Hayun pada Isnin. - Foto Bernama
Ismail Sabri mengadakan lawatan di kawasan bencana banjir di Titi Hayun pada Isnin. - Foto Bernama

Menurutnya, sebagai langkah pencegahan, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) merancang membina Empangan Sabo bernilai RM20 juta bagi menghalang pokok tumbang dihanyutkan air.

“Selain itu kerajaan bersetuju menaik taraf saliran Loji Rawatan Air (LRA) Gurun dan Tupah bernilai RM2 juta bagi memastikan gangguan bekalan air di Merbok dapat diselesaikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ismail Sabri, sejumlah RM25 juta juga diperuntuk bagi pembaikan kemudahan pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor pelancongan desa membaiki sistem bekalan air masyarakat dan kerosakan kawasan tanaman padi serta pelbagai infrastruktur kecil lain.

"Bagi keperluan tambahan lain boleh dimaklumkan kepada Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan beliau akan memaklumkan kepada kerajaan pusat,” katanya.

Beliau turut merakamkan simpati kepada semua yang terkesan akibat bencana berkenaan dan mengucapkan takziah kepada enam keluarga mangsa yang terkorban.

Turut diumumkan sebelum ini ialah bantuan RM500 kepada setiap keluarga yang terjejas selain bantuan bernilai RM5,000 kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Dalam kejadian Rabu lalu, fenomena kepala air dari Gunung Jerai menyebabkan dan banjir lumpur melanda daerah Yan, serta kawasan Merbok dan Gurun di daerah Kuala Muda sehingga berlaku kerosakan teruk membabitkan infrastruktur serta kediaman penduduk.