STFC sebagai badan pemikir bantu Selangor tangani Covid-19

Dr Siti Mariah (kiri) ketika menjawab soalan pada hari pertama Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor Yang Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor pada Selasa. - Foto Bernama
Dr Siti Mariah (kiri) ketika menjawab soalan pada hari pertama Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor Yang Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan Selangor Task Force Covid-19 (STFC) pada 12 Mac lalu adalah sebagai badan pemikir bagi membantu kerajaan negeri menangani pandemik Covid-19.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, tindakan dan langkah juga diambil menerusi cadangan polisi kepada kerajaan negeri.

Melalui STFC, katanya, kerajaan negeri menjadi pelengkap kepada usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam menangani penularan Covid-19 di negeri ini.

Menurutnya, pelbagai inisiatif turut diperkenalkan melalui penubuhan STFC, antaranya ialah aplikasi SELangkah.

"Kedua, membangunkan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang dikenali sebagai Sistem Tahap Amaran bagi pelbagai sektor termasuk sektor ekonomi seperti perniagaan dan pasar malam, serta sektor sosial dan rumah ibadat.

"Sistem ini telah dirangka berdasarkan kod warna sesuatu lokaliti di dalam sesebuah kawasan mengikut jumlah penularan kes positif Covid-19," katanya ketika sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Selasa.

Mariah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahmad Mustaqim Othman (PKR-Sabak) mengenai tindakan dan langkah telah diambil STFC bagi menangani kes Covid-19 yang semakin meningkat di Selangor.

Dr Siti Mariah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang berkata, STFC juga menggerakkan program saringan Covid-19 secara bersasar kepada golongan berisiko tinggi dan di kawasan zon merah seluruh Selangor pada tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

"Usaha ini diteruskan pada tahun 2021 melalui pelaksanaan saringan ke peringkat komuniti secara percuma di kesemua 56 DUN dengan kerjasama Pegawai Kesihatan Daerah, JKNS dan agensi berkaitan.

"Langkah ini telah berjaya mengesan kes positif Covid-19 terutama dalam kalangan pembawa senyap iaitu golongan yang tidak bergejala," jelas beliau.

Tambah beliau, inisiatif itu adalah berasaskan strategi FTTIS iaitu 'Find, Test, Trace, Isolate and Support' seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Menurutnya, pengawalan wabak Covid-19 di sektor perindustrian dan tempat kerja juga penting bagi memastikan kelangsungan ekonomi terus terpelihara selari dengan status negeri industri termaju di Malaysia.

Justeru, katanya, program 'Prevention of Outbreak At Ignition Sites' (POIS) telah diperkenalkan pada awal tahun 2021.

"POIS merupakan satu langkah pemerkasaan pihak majikan secara sukarela daripada industri atau kilang yang merupakan penyumbang terbesar kluster kes Covid-19 di Selangor.

"Saringan dibiayai sendiri pihak industri ini merupakan langkah mitigasi di samping memberi panduan kepada majikan untuk mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja dan menghalang penularan ke dalam komuniti," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pasukan STFC juga telah mencadangkan penubuhan sebuah pasukan respons pantas pada awal pandemik Covid-19 berlaku yang diterjemahkan melalui penubuhan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka).

"Suka berperanan sebagai pasukan advokasi berkaitan kesihatan awam kepada warga Selangor termasuk perkara berkaitan pengurusan Covid-19.

"Ini turut boleh meningkatkan kerjasama dan penglibatan orang awam dalam menangani Covid-19," katanya.

Ujar beliau, STFC juga melaksanakan Program Vaksin Selangor (SelVAX) bertujuan bagi mencapai imuniti kelompok warga Selangor terutama cadangan vaksinasi kepada petugas hadapan sektor ekonomi.