Dasar Air Negara pacu usaha bersepadu pembangunan sosioekonomi

Dasar 4IR Negara bawa misi memacu pertumbuhan yang seimbang, bertanggungjawab dan mampan dengan memanfaatkan penggunaan teknologi dan inovasi. - Foto 123RF
Dasar 4IR Negara bawa misi memacu pertumbuhan yang seimbang, bertanggungjawab dan mampan dengan memanfaatkan penggunaan teknologi dan inovasi. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penularan pandemik Covid-19 memberi impak yang besar bukan sahaja terhadap kesihatan rakyat tetapi juga ekonomi negara.

Pengalaman ini sebenarnya menekankan lagi keperluan kepada penguasaan teknologi baharu seperti yang digariskan di bawah Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.

Dilancarkan pada 1 Julai lepas, Dasar 4IR Negara membawa misi memacu pertumbuhan yang seimbang, bertanggungjawab dan mampan dengan memanfaatkan penggunaan teknologi dan inovasi.

Dasar ini menyediakan prinsip panduan utama dan hala tuju strategik kepada kementerian dan agensi dalam penggubalan dasar dan pelan tindakan, bagi mengoptimumkan pengagihan sumber dan penyelarasan pelaksanaan dalam perkara berkaitan teknologi baru muncul yang akan memanfaatkan rakyat, sektor swasta dan awam.

Dalam penjelasannya kepada Bernama, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri berkata pelaksanaan Dasar 4IR Negara adalah sangat kritikal pada masa ini, khususnya ketika negara menuju ke arah fasa pemulihan daripada pandemik.

Apatah lagi negara-negara lain sudahpun mengorak langkah secara proaktif dalam melaksanakan 4IR.

Justeru kata EPU, negara ini juga tidak boleh lagi berjuang tanpa kemahiran yang sepatutnya kerana pasaran pekerjaan semasa akan berubah mengikut perubahan teknologi, selain membantu negara bersedia dengan bidang kerja baharu pada masa akan datang.

"Melalui penerimagunaan teknologi baru muncul ini, Malaysia akan terus berada di landasan yang tepat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, selari dengan tahap produktiviti, inovasi dan daya saing untuk maju dengan pesat.

Artikel Berkaitan:

"Utamanya, kerajaan melihat konsep penerimagunaan teknologi 4IR ini secara holistik yang merangkumi ketiga-tiga aspek kehidupan rakyat, iaitu kehidupan, pekerjaan dan gaya hidup.

Dasar 4IR Negara ini secara asasnya adalah manifestasi kehidupan rakyat yang lebih berkualiti dan mampan dalam era teknologi digital,” jelas EPU.

Menurut EPU, dasar ini juga bermatlamat meningkatkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (MyWI) kepada 136.5 mata pada 2030, berbanding 124.4 mata pada 2018. "Sebab itulah Dasar 4IR Negara ini mengguna pakai pendekatan berpaksikan kemanusiaan. Menerusi Dasar 4IR, kerajaan mampu teruskan usaha merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat Malaysia - antara bandar dan desa, generasi muda dan tua contohnya,” katanya.

Jadi sokongan kepada dasar lain

Menurut EPU lagi, Dasar 4IR Negara secara asasnya akan memudah cara transformasi sosioekonomi melalui penggunaan teknologi 4IR secara beretika.

Dasar itu juga akan turut memacu hala tuju dasar lain dan menyokong pelaksanaan agenda negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Rancangan Malaysia Lima Tahun.

Melalui Dasar 4IR Negara, kerajaan mampu mewujudkan ekosistem yang kondusif dalam memacu pendigitalan melalui kesepaduan teknologi dalam pelbagai bidang dan memudah cara pengenalan model perniagaan baharu, kata EPU.

Menurut EPU, kerajaan menggubal Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia bersama-sama Dasar 4IR Negara agar saling melengkapi.

"Kedua-dua dokumen ini dihubungkan di bawah MyDIGITAL, satu agenda negara bagi memastikan usaha yang telah digariskan oleh kedua-dua dasar dapat diintegrasikan dan dilaksanakan dengan jayanya bagi memberi manfaat kepada rakyat, perniagaan dan kerajaan,” katanya.

Jelasnya, menerusi transformasi pendigitalan negara, akan berlaku perubahan landskap ekonomi digital dari segi peningkatan literasi digital, kewujudan pekerjaan baharu dan berpendapatan tinggi, pengurusan perbankan dan kewangan yang lebih mudah dan teratur, akses yang lebih baik bagi pendidikan secara maya kepada anak-anak serta kemudahan mobilisasi perubatan untuk pekan terpencil.

"Contohnya, untuk menjalankan perniagaan pada zaman ini tidak perlu lagi menyewa kedai, tetapi boleh berniaga secara digital, buka kedai dalam talian di Facebook, Instagram atau WhatsApp sahaja, promosi produk atau perkhidmatan secara dalam talian. Seluruh rantaian bekalan ini dapat bergerak secara digital sepenuhnya,” kata EPU.

Tangani masalah ekonomi, pandemik

Dasar 4IR Negara akan memberi tumpuan kepada 10 sektor utama serta enam sektor sokongan berdasarkan sumbangan sektor terbabit kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), di samping peranan sektor-sektor ini untuk mempengaruhi pertumbuhan sektor lain antaranya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

"Sektor-sektor tersebut ialah Perdagangan Borong dan Runcit; Pengangkutan dan Logistik; Pelancongan; Pendidikan; Pertanian; Penjagaan Kesihatan; Kewangan dan Insurans; Perkhidmatan Profesional, Saintifik dan Teknikal; Pembuatan serta Utiliti.

"Enam sektor sokongan pula ialah Pembinaan; Hartanah; Perlombongan dan Pengkuarian; Perkhidmatan Maklumat dan Komunikasi; Perkhidmatan Kesenian, Hiburan dan Rekreasi; serta Pentadbiran dan Khidmat Sokongan,” kata EPU.

Mengenai PMKS, agensi itu berkata Dasar 4IR Negara menggariskan pelan yang holistik bagi membantu melonjakkan perniagaan sektor tersebut termasuk menyediakan bantuan untuk membolehkan pengusaha PMKS memanfaatkan teknologi.

"Daripada bantuan kewangan dalam bentuk insentif dan pembiayaan kepada khidmat nasihat dan bantuan sokongan maklumat - kerajaan akan membantu PMKS untuk bersedia,” kata EPU.

Hingga kini, sebanyak RM20 bilion telah diperuntukkan dari segi bantuan kewangan dan bantuan bukan kewangan melalui pelbagai pakej rangsangan seperti Prihatin, Penjana dan Pemerkasa untuk membantu perniagaan, terutama PMKS ke arah pendigitalan.

Sektor kesihatan juga menerima tumpuan yang amat besar di bawah Dasar 4IR Negara, khususnya bagi memerangi pandemik Covid-19, dengan kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan ketidakpadanan rantaian bekalan dan penyampaian perkhidmatan dalam industri penjagaan kesihatan menerusi penggunaan teknologi 4IR.

"Antara lain, kita akan membangunkan rangka kerja penerimagunaan teknologi yang pantas bagi teknologi 4IR berkaitan penjagaan kesihatan, selain membangunkan standard nasional dan garis panduan untuk program robotik dan dron berkaitan penjagaan kesihatan,” kata EPU.

Memperkasa ekonomi digital

Sementara itu, pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed pula berpandangan Dasar 4IR Negara adalah penerusan usaha kerajaan dalam memperkasa penggunaan teknologi dan 4IR. Usaha ini katanya harus disokong semua pihak bagi mempercepat proses pendigitalan negara.

Beliau berkata pada masa ini, kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia mempunyai akses kepada Internet sementara 62 peratus daripada perniagaan memanfaatkan Internet. Angka ini berpotensi untuk meningkat pada masa depan, lebih-lebih lagi pada ketika ini berlaku keterbatasan perniagaan secara fizikal disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya.

Beliau memberi contoh langkah awal yang telah diambil oleh kerajaan, termasuk persetujuan gergasi teknologi Microsoft melabur RM4 bilion dengan pembukaan pusat data serantau pertamanya di Malaysia, yang akan menjana lebih 19,000 peluang pekerjaan baharu termasuk 4,000 atau sekitar 21 peratus peluang pekerjaan dalam bidang teknologi maklumat (IT).

Oleh itu, sokongan kerajaan dalam meningkatkan pelaburan berasaskan teknologi ini adalah selari dengan inisiatif yang dirangka dalam 4IR dan ini akan berterusan, sekali gus meningkatkan kebergantungan kepada ekonomi digital melalui 4IR, katanya.

Berhubung cadangan penambahbaikan dasar, Dr Anuar Shah Bali berkata, antara yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan ialah menyediakan platform dalam talian yang boleh disertai oleh ramai usahawan bumiputera yang terjejas pendapatan disebabkan oleh PKP 3.0.

"Untuk mempercepat proses peralihan PMKS ke perniagaan dalam talian, kerajaan boleh berunding dengan penyedia pasaran dalam talian di Malaysia seperti Lazada dan Shopee untuk menyediakan lebih banyak ruang kepada usahawan terbabit menyertai platform mereka.

"Memang benar kebanyakan vendor sedia ada di platform terbabit adalah daripada PMKS, namun apa yang penting ialah kerajaan juga perlu menyediakan lebih banyak ruang, latihan dan pendedahan kepada mereka tentang dunia perniagaan secara dalam talian bagi membolehkan mereka lebih bersedia,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan juga boleh membantu usahawan PMKS yang mempunyai kedai fizikal dalam mempromosikan produk mereka melalui platform dalam talian dan bekerjasama dengan Lazada dan Shopee atau platform lain yang mampu menarik minat pengguna untuk membeli produk mereka.

Katanya teknologi baharu yang ingin diperkenalkan juga perlulah mudah digunakan serta dilihat berguna untuk rakyat, khususnya kepada PMKS dalam menjana pendapatan masing-masing.

Beliau yakin dua perkara tersebut akan dapat membantu meningkatkan penerimaan teknologi dalam kalangan usahawan PMKS. - Bernama