Pusat gelandangan di JB dijangka siap Julai tahun depan

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah pusat gelandangan yang sedang dalam pembinaan di Taman Larkin Perdana, di sini melibatkan anggaran kos berjumlah RM7.64 juta, dijangka siap sepenuhnya pada Julai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kos bagi pembinaan pusat gelandangan itu dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Beliau berkata, sementara menunggu dibina, terdapat dua pusat gelandangan sementara iaitu di Perling dan Anjung Singgah sedia untuk beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat.

“Dua pusat sementara itu diharap dapat memberikan sedikit keselesaan dan meringankan beban golongan tersebut,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau.

Menurut Onn Hafiz, beliau bersama Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman turun padang hari ini bagi melihat sendiri pembinaan dan melaporkan perkembangan terkini mengenai pusat gelandangan itu.

Katanya, ia susulan titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini agar pembinaannya dipercepatkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: