[VIDEO] 'Tak wajar bebankan negara dengan kemelut politik, perebutan kuasa'

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah
A
A
A

KUANTAN- Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah menasihatkan semua wakil rakyat di Pahang agar mengamalkan politik lebih matang, jujur dan ikhlas demi membantu rakyat serta memajukan negara.

Titah baginda, rakyat dan negara tidak sewajarnya dibebani dengan kemelut politik serta perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.

Justeru, baginda meminta semua wakil rakyat perlu berpegang kepada prinsip mendahulukan rakyat dan menggunakan peluang untuk berbahas secara rasional.

"Suka saya ingatkan kepada semua wakil rakyat, ini bukan masa untuk kita berebut kuasa. Ini bukan masanya untuk kita semua bersengketa dan ini bukan masanya untuk kita banyak berbicara tanpa membuat apa-apa.

"Sebaliknya ini masanya untuk kita semua bersama demi negara, negeri dan rakyat jelata. Dalam keadaan wabak pandemik rakyat menaruh harapan tinggi kepada kita semua (wakil rakyat)," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada sidang pembukaan sempena mesyuarat pertama penggal keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Sri Pahang pada Isnin.

Tengku Hassanal bertitah pada sidang pembukaan sempena mesyuarat pertama penggal keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Sri Pahang pada Isnin.
Tengku Hassanal bertitah pada sidang pembukaan sempena mesyuarat pertama penggal keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Sri Pahang pada Isnin.

Tengku Hassanal turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan, Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan:

Baginda berharap Ismail Sabri dapat menjalankan tugas dan tanggung jawab diamanahkan dengan sebaik mungkin.

Menyentuh mengenai tadbir urus kerajaan Pahang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Tengku Hassanal bertitah, pelbagai usaha dan inisiatif diperkenalkan kerajaan negeri bagi membantu penduduk terjejas akibat pandemik Covid-19 perlu diteruskan dengan kerjasama semua pihak.

Jelas baginda, kes Covid-19 di Pahang masih tinggi dan menyeru semua rakyat mengamalkan langkah keselamatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak kerajaan.

“Mengenai bantuan dan inisiatif diperkenalkan kerajaan negeri pula, saya rasa ia bukanlah daripada kerajaan negeri semata-mata dan turut membabitkan pihak swasta dan korporat.

“Untuk itu, kita perlu sentiasa cakna dengan persekitaran dan kejiranan kita bagi memastikan tidak ada yang tercicir daripada menerima bantuan di saat mencabar seperti sekarang,” titah baginda.

Tengku Hassanal turut mengingatkan kerajaan negeri supaya terus mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) secara lestari dalam melaksanakan agenda pembangunan dan kemajuan.

Baginda bertitah, setiap agensi dan jabatan yang terbabit dalam tugas penguatkuasaan perlu menjalankan tugas mereka tanpa sebarang rasa takut dan tertekan.

“Saya mengalu-alukan pembangunan dan pelaburan, namun ia bukanlah alasan untuk kita mengabaikan dan melakukan kemusnahan sesuka hati.

"Sehubungan itu, Pahang mesti menjadi contoh dalam prinsip ESG dengan menambah keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) dari masa ke masa dengan HSK di Pahang kini berjumlah 1.59 juta hektar," jelas baginda.

Justeru, baginda agar kerajaan negeri dapat menambah jumlah keluasan HSK pada masa akan datang untuk menjadikan Pahang sebaik 'Green Lung' Semenanjung Malaysia.

"Dalam hal ini, saya menyokong usaha kerajaan Pahang yang bertindak tegas dalam aktiviti penguatkuasaan sebagai contoh operasi lestari di Cameron Highlands apabila berjaya membersihkan sungai Ichat yang mengalami pencemaran tahap empat kepada tahap satu.

"Begitu juga dengan beberapa operasi penguatkuasaan untuk banteras penerokaan tanah secara haram di Pahang. Saya berharap usaha ini diteruskan 'Without fear of fear or Favour' demi memastikan usaha pemelihara dan pemuliharaan HSK dan alam sekitar di negeri ini," titah baginda.