'Bukan isu RM90 juta, tapi isu pemilikan kereta Porsche'

HASHIM
HASHIM
A
A
A

KANGAR - Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis untuk memberi keterangan, pagi tadi.

Beliau bagaimanapun mengesahkan hanya ditanya mengenai status pemilikan kereta mewah jenis Porsche Cayman oleh pegawai SPRM dan langsung tiada berkaitan dengan dana RM90 juta.

“Ada dua orang sahaja pegawai SPRM, hanya saya dibenarkan masuk, yang lain tunggu di luar. Mereka hanya tanya pasal kereta Porsche Cayman semata-mata, tak sentuh langsung isu dana RM90 juta,” katanya.

Menurutnya, beliau telah memaklumkan bahawa kereta berkenaan milik anaknya, yang dibeli menggunakan kuota permit import (AP) ketika beliau masih Ahli Parlimen sebelum ini.

“Saya dah jelaskan yang saya tak pakai kereta itu, boleh tanya rakyat Perlis kalau nampak saya bawa kereta itu sekitar negeri ini,” katanya.

Hashim berkata, tindakan SPRM memanggil beberapa pemimpin Pas didakwa sekadar untuk melengahkan gerak kerja parti itu berdepan PRK DUN Semenyih.

“Saya maklumkan perkara yang betul. Isu ni sekadar nak tutup kelemahan kerajaan PH sahaja, nak kaitkan dengan macam-macam perkara,” katanya yang hadir memberi keterangan selama hampir dua jam.

Hashim tiba di pekarangan pejabat SPRM Perlis menaiki Proton Saga putih ditemani isterinya, serta tiga anggota Jabatan Amal Pas pada 9.40 pagi dan meninggalkan Bangunan Persekutuan Kangar sekitar 11.50 pagi.

Artikel Berkaitan:

Selain Hashim, Exco Pas, Nasir Daud turut dipanggil bagi memberi keterangan membantu siasatan SPRM di Kelantan, dipercayai berhubung dakwaan dana RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Pas.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum itu turut dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung isu sama.

SPRM juga telah memanggil beberapa individu termasuk Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berhubung kes terbabit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull baru-baru ini mengesahkan tiada rekod menunjukkan dana itu dimasukkan ke dalam akaun rasmi Pas.