Agong zahir dukacita tragedi fenomena kepala air

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi banjir susulan fenomena kepala air berlaku di sekitar kawasan Gunung Jerai di Yan, Kedah, yang meragut empat nyawa setakat ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pada Jumaat berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga empat mangsa terbabit dan berharap seluruh keluarga bersabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan dan berdoa agar tiga lagi mangsa yang dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun dapat ditemukan dan diselamatkan dengan segera,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua anggota agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa, termasuk penduduk terjejas akibat banjir berkenaan.

Seri Paduka turut menasihati penduduk di kawasan terbabit supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta berpindah ke pusat pemindahan dengan segera sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa tempatan.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menyeru kerajaan dan badan bukan kerajaan supaya menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan akibat bencana berkenaan.

Fenomena kepala air yang mencetuskan banjir di sekitar Yan dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 5 petang, Rabu lalu dan setakat ini telah meragut empat nyawa.

Menurut kenyataan itu, antara lokasi terbabit banjir adalah kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

Artikel Berkaitan:

Dilaporkan bagi daerah Yan yang terjejas akibat banjir dan fenomena kepala air itu, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi dibuka untuk menempatkan mangsa positif Covid-19 dan individu yang dikuarantin.

Kedua-dua penempatan berkenaan bagaimanapun dipantau rapi oleh semua agensi berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Pada Khamis, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dilapor berkata, kerajaan negeri mengisytiharkan daerah Yan dan Kuala Muda sebagai Kawasan Bencana Tahap 1 berdasarkan Arahan Tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) No 20. - Bernama