Kedah bincang proses pemulihan pasca bencana

Muhammad Sanusi (kiri) menyerahkan cek bayaran faedah Perkeso kepada waris mangsa yang maut dalam fenomena kepala air di Gunung Jerai di sini pada Khamis.
Muhammad Sanusi (kiri) menyerahkan cek bayaran faedah Perkeso kepada waris mangsa yang maut dalam fenomena kepala air di Gunung Jerai di sini pada Khamis.
A
A
A

YAN - Kerajaan Negeri Kedah akan berbincang dengan beberapa agensi berkaitan pemulihan infrastruktur di daerah Yan dan Kuala Muda susulan fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebagai permulaan beliau akan bertemu dengan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk tujuan berkenaan.

Katanya, beberapa agensi berkaitan terletak di bawah bidang kuasa KASA seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang akan membantu melancarkan proses pemulihan.

"Mohon kepada KASA untuk menjalankan pembaikan saluran yang rosak, titi hayun putus dan lain-lain yang mungkin KASA pertimbangkan untuk salurkan peruntukan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bayaran faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada waris mangsa yang maut dalam fenomena kepala air di Gunung Jerai di sini pada Khamis.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan memohon bantuan daripada beberapa agensi lain bagi melancarkan proses pembaikan dan pemulihan.

"Telah memohon daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan menanti pegawai daerah menyediakan laporan lengkap mengenai kerosakan dan jumlah kerugian dianggarkan akibat bencana ini," katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, proses pemulihan akan mengambil masa agak lama memandangkan banyak kerosakan perlu diberi perhatian.

"Saya tengok laluan asal sungai sudah beralih. Beberapa rumah dan kenderaan rosak. Tengok apa yang boleh dibaik pulih," katanya.

Artikel Berkaitan: