Jangan terpedaya pulangan tinggi

Pelaburan yang dilakukan hanya kerana inginkan pulangan tinggi tanpa memahami sepenuhnya risiko yang perlu ditanggung, mungkin akan menyebabkan pelabur menanggung kerugian
Pelaburan yang dilakukan hanya kerana inginkan pulangan tinggi tanpa memahami sepenuhnya risiko yang perlu ditanggung, mungkin akan menyebabkan pelabur menanggung kerugian
A
A
A

Menumpu hanya kepada pulangan tanpa melihat kepada risiko kerugian merupakan antara sebab utama mengapa ramai mudah terpedaya dengan janji manis pelaburan skim cepat kaya.

Kebelakangan ini, skim cepat kaya ini pula semakin berkembang kepada pelbagai jenis skim yang lebih sofistikated dengan tawaran pulangan tinggi tanpa pendedahan risiko yang jelas selain dokumen dan strategi pelaburan yang kabur.

Yang kelihatan jelas dicanangkan ialah pulangan tinggi hingga berbelas peratus sedangkan risiko kerugian yang perlu ditanggung tidak dijelaskan dengan terperinci kepada pelabur.

Sudahnya, kita lihat banyak laporan polis mengenai penipuan dalam skim pelaburan yang mana penganjurnya lari tanpa dapat dikesan dan tinggallah pelabur terpinga-pinga dalam kekeliruan dan kerugian.

Faktor utama kepada masalah ini sebenarnya ialah keengganan kebanyakan daripada kita untuk belajar mengenai pelaburan dan faktor-faktor yang mempengaruhi pulangan yang diberikan instrumen pelaburan berkenaan.

Sebagai contoh, lihat sahaja bagaimana ramai yang kecewa apabila Amanah Saham Bumiputera (ASB) mengumumkan dividen yang rendah, sekitar 4.25 peratus tahun lalu kerana mengharapkan pulangan yang tinggi.

Apa yang mereka tidak sedar ialah mereka langsung tidak menanggung risiko kerugian apabila melabur dalam ASB berbanding jika melabur dalam unit amanah harga berubah atau pasaran saham.

Namun, apabila hubungkait antara risiko dan pulangan tidak difahami, ramai pelabur mengambil keputusan untuk melabur di tempat lain yang kononnya menjanjikan pulangan tinggi, tanpa menyedari risiko mereka kehilangan wang juga adalah tinggi.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Mengapa risiko tinggi? Jawapannya ialah kerana tiada jaminan modal pelaburan tidak akan hilang, sepertimana apabila kita melabur dalam pasaran saham. Harga seunit saham yang dibeli boleh naik dan turun pada bila-bila masa.

Minggu ini kita untung, minggu depan kita mungkin rugi bergantung kepada prestasi syarikat, pasaran saham, ekonomi negara dan dunia dan seribu satu lagi faktor yang mungkin menyebabkan harga saham sesebuah syarikat itu naik ataupun turun.

Bagi membuat keputusan tepat dan mengelak kerugian, kita perlukan ilmu, sumber dan masa untuk merancang dan memantau pelaburan. Mungkin pulangan adalah tinggi, namun adakah kita mempunyai semua yang diperlukan untuk meraih keuntungan berkenaan?

Tanpa ilmu, ramai memilih untuk melabur dalam pelbagai skim pelaburan yang dijaja di Internet semata-mata kerana percaya dengan pulangan luar biasa yang dijanjikan, namun akhirnya menanggung kerugian hingga puluhan ribu ringgit.

Usah terlalu mudah melaburkan wang yang sukar untuk dicari dalam skim pelaburan yang belum tentu sah dan tidak pula diluluskan kerajaan, sedangkan pada masa yang sama, kita sangat berkira untuk melabur dalam instrumen pelaburan yang sudah terang dan nyata diuruskan oleh syarikat pelaburan yang mempunyai kepakaran dan sah di sisi undang-undang.

Pulangan tinggi bukanlah ukuran kehebatan mana-mana instrumen pelaburan, sebaliknya sebagai pelabur, lengkapkan diri dengan ilmu supaya tidak silap dalam percaturan.

Jangan mengenepikan peluang pelaburan yang baik hanya kerana mengejar pulangan tinggi namun akhirnya menanggung kerugian seperti kata pepatah, ‘masuk angin, keluar asap’.