'Jangan mudah koyak' - MB Kelantan

Nassuruddin
Nassuruddin
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengingatkan pihak lawan iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) supaya jangan mudah koyak dalam berpolitik.

Beliau berkata sebagai mengulas tindakan wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Kota Lama yang menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari bermula Ahad.

"Kita kalau hendak terlibat dalam politik jangan mudah koyak.

"Mengenai tindakan undang-undang (BN-PH), kita tengok dulu surat (notis). Setakat ini saya belum terima," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut di Masjid Al-Fattah, Mukim Kota di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, wakil rakyat DUN Meranti itu tetap mempertahankan kenyataan yang dibuat pada Jumaat lalu.

Katanya, ucapan itu jelas dan nyata menyebut melawan perjuangan Islam dan bukan melawan Islam.

"Islam dengan perjuangan Islam lain. Itu dua benda yang berbeza, jadi...jangan pusing mengatakan saya menyebut mereka melawan Islam... tidak.

"Boleh dengar elok-elok, saya sebut menggunakan bahasa Melayu Kelantan yang boleh difahami," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum itu melaporkan, Mohd Nassuruddin diminta untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada wakil rakyat Dewan DUN Galas, Kota Lama serta pengundi BN dan PH dalam tempoh tujuh hari bermula Ahad.

Permohonan maaf itu susulan Mohd Nassuruddin melabelkan kedua-dua wakil rakyat itu melawan perjuangan Islam semasa menyampaikan kuliah di Medan Ilmu di sini pada Jumaat.

Wakil rakyat DUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, notis tuntutan maaf tersebut akan dihantar pada hari ini (Ahad) kepada Pejabat Menteri Besar selepas laporan polis dibuat.