X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Nadma pastikan pengurusan banjir di Yan teratur

Keadaan sungai dipenuhi dengan kayu balak di Taman Rekreasi Titi Hayun selepas banjir kilat susulan kejadian kepala air di kaki Gunung Jerai di Titi Hayun Yan hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan memastikan pengurusan bencana akibat banjir di Yan dan Kuala Muda Kedah dikawal dan diselaraskan, kata Ketua Pengarahnya Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Beliau berkata, situasi di kedua-dua tempat itu yang diisytiharkan sebagai Kawasan Bencana Tahap 1 pada Khamis susulan banjir disebabkan fenomena kepala air di kawasan sekitar Gunung Jerai petang Rabu, Nadma berperanan menyalur maklumat dan memberi nasihat bagi pengurusan bencana berkenaan.

"Yang penting apabila bencana berlaku ia dapat dikawal dan diselaraskan dengan teratur. Contoh bencana yang berlaku di Yan, tidak perlu cetuskan ia kepada satu tahap yang lebih besar dan meletakkan keyakinan kepada agensi-agensi yang berada di situ.

"Antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Komander Operasi Bencana di situ boleh menanganinya kita akan bagi nasihat tertentu sahaja,” katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.

Menyifatkan banjir di dua daerah itu ketika negara masih dilanda wabak Covid-19 sebagai 'bencana dalam bencana', beliau berkata pegawai Nadma akan memantau keadaan pusat pemindahan sementara (PPS) dari segi jarak yang ditetapkan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, pihaknya juga akan meneliti prosedur pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terutama sekiranya terdapat kes-kes positif Covid-19 memandangkan kes dicatatkan di Kedah agak tinggi buat masa ini.

Aminuddin berkata, Pengisytiharan Kawasan Bencana Tahap 1 adalah merujuk kepada daerah yang ditimpa bencana dengan pengurusan dan pengendaliannya ditangani agensi pengurusan bencana di peringkat daerah, kata Ketua Pengarah.

Beliau berkata, sebuah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang kebiasaannya diketuai Pegawai Daerah akan ditubuhkan bagi tujuan mengelola dan menyelaras semua sumber, logistik, kewangan serta tugas-tugas termasuk agensi-agensi terlibat dalam pengurusan bencana itu.

"Bagi Kawasan Bencana Tahap 1, tidak perlu nak 'resource' (dapatkan sumber) daripada peringkat negeri atau daerah terdekat, hanya terlitup dalam kawasan daerah itu sahaja.

"Tahap 2 adalah peringkat negeri, contohnya banjir yang merentas dua atau tiga daerah...sekiranya banyak daerah yang terlibat kita akan bawa ke Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk isytihar kawasan Bencana Tahap 2," katanya.

Beliau berkata, bagi Kawasan Bencana Tahap 2, sumber bagi pengurusan bencana itu akan digerakkan dan diperoleh daripada kerajaan negeri serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Aminuddin berkata, Kawasan Bencana Tahap 3 pula adalah bagi bencana melibatkan beberapa negeri dan pengurusan kawasan bencana ini akan dikelola Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!