MAFS perlu segera atasi kelemahan pengurusan pertanian negara

Nordin
Nordin
A
A
A

IPOH - Jawatankuasa Bertindak Penambahbaikan Sektor Pertanian di Malaysia menggesa kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) menilai semula sistem pengurusan pertanian negara yang semakin bercelaru ketika ini.

Pengerusinya, Nordin Abdul Malek berkata, sejak kebelakangan ini pelbagai isu serius berlaku dalam semua peringkat pelaksanaan pertanian negara yang melibatkan rantaian bekalan meliputi tanaman makanan, ternakan ikan air tawar serta bekalan ayam.

Jelas beliau, isu lambakan sayur-sayuran, buah-buahan import, kekurangan serius benih ikan air tawar memperlihatkan kelemahan dalam sistem pengurusan maklumat termasuk penggunaan data berkaitan penawaran dan permintaan yang boleh merugikan golongan petani dan penternak sekali gus boleh menjejaskan dasar keterjaminan makanan negara.

"Kesan kecelaruan pengurusan sistem pertanian negara yang ketara sejak kebelakangan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan protes dalam kalangan petani dan penternak dengan pelbagai cara terutama melalui viral media sosial. Begitu juga kegagalan kerajaan menyelaras dan menyediakan peluang TVET (Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional) pertanian swasta.

"Jawatankuasa ini mencadangkan supaya MAFS menilai semula sistem pengurusan, penyelarasan dan keberkesanan perlaksanaan pertanian negara secara komprehensif supaya bertepatan dengan Dasar Keterjaminan Bekalan Makanan Negara serta cabaran dunia terutama kesan pemanasan global," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Nordin berkata, pembangunan modal insan melibatkan latihan kemahiran TVET pertanian serta pendidikan di peringkat universiti juga berdepan masalah yang perlu ditangani segera demi kelangsungan keperluan tenaga kerja.

Menurutnya, sektor latihan kemahiran pertanian berdepan pelbagai karenah birokrasi di peringkat Kementerian Sumber Manusia dan ketiadaan keseragaman dengan agensi lain seperti MAFS untuk menggalakkan penyertaan pusat latihan TVET swasta, khususnya dana berkaitan latihan.

"Jawatankuasa ini juga difahamkan bahawa beberapa universiti awam utama yang mengendalikan pengajian berkaitan pertanian sukar mendapat sokongan pembiayaan dalam aspek penyelidikan, aktiviti pembangunan industri dan masyarakat dalam sektor pertanian.

"Peruntukan yang disediakan oleh agensi induk seperti Kementerian Pengajian Tinggi adalah tidak mencukup untuk IPTA menjalankan pelbagai aktiviti untuk menyokong pembangunan pertanian negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa Menteri MAFS, Datuk Seri Mohamad Sabu supaya bersemuka dengan semua pihak yang mewakili petani dan penternak dalam rantaian bekalan serta penyedia latihan termasuk kepimpinan universiti berkaitan.

Katanya, pertemuan itu penting bagi membawa satu perubahan dalam kerangka yang lebih besar untuk menambah baik sistem pertanian dan keterjaminan makanan negara dengan kadar segera.