Banjir Yan: Tinjauan udara tidak temui aktiviti pembalakan

Abdul Wahab (kanan) mendengar penerangan daripada Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon ketika tinjauan operasi mencari dan menyelamat di Pusat Peranginan Titi Hayun, Yan pada Khamis.
Abdul Wahab (kanan) mendengar penerangan daripada Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon ketika tinjauan operasi mencari dan menyelamat di Pusat Peranginan Titi Hayun, Yan pada Khamis.
A
A
A

YAN - Fenomena kepala air yang melanda kawasan Gunung Jerai di sini berpunca daripada sumber air terkumpul akibat hujan lebat berterusan dalam tempoh beberapa hari.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, berdasarkan tinjauan udara, beliau tidak menemui sebarang tanah lapang atau kosong yang berpunca daripada aktiviti pembalakan seperti didakwa segelintir pihak.

Beliau sebaliknya berkata, pihaknya menemui beberapa laluan air terjun yang terbentuk akibat air yang melimpah turun.

"Terdapat antara tiga hingga empat laluan air terjun yang kita kenal pasti. Ada yang bersaiz besar, sedang dan kecil.Tetapi yang paling jelas, kita lihat ada tiga laluan.

Alang Kenari Resort antara lokasi yang mengalami kerosakan akibat dibadai kepala air dalam kejadian Rabu.
Alang Kenari Resort antara lokasi yang mengalami kerosakan akibat dibadai kepala air dalam kejadian Rabu.

"Ia terjadi di lokasi berbeza namun ia bercantum menjadi satu laluan apabila sampai di bawah," katanya ketika memantau operasi mencari dan menyelamat di Pusat Peranginan Titi Hayun di sini pada Khamis.

Abdul Wahab juga tidak menolak kemungkinan kejadian sama akan berulang pada masa akan datang.

"Kejadian ini kita tidak boleh dielak sekiranya hujan secara berterusan dalam kuantiti banyak di kawasan setempat.

Artikel Berkaitan:

"Biasanya kita ada takungan di puncak gunung. Apabila takungan ini melebihi had, pergerakan air akan berlaku mengakibatkan fenomena kepala air," jelas beliau.

Pusat Peranginan Titi Hayun antara lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung suatu masa dahulu musnah dibadai kepala air pada Rabu.
Pusat Peranginan Titi Hayun antara lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung suatu masa dahulu musnah dibadai kepala air pada Rabu.

Abdul Wahab bagaimanapun berkata, beliau yakin fenomena itu tidak akan berlaku seteruk Rabu memandangkan ia sudah membentuk laluan-laluan air.

"Apabila sudah ada laluan, air boleh turun terus tanpa ada takungan dalam kuantiti yang banyak. Cuma kemungkinan dalam jangka masa panjang apabila wujud halangan baharu daripada sisa-sisa hutan atau pergerakan batu, ia boleh wujudkan bencana sama seperti ini," ujarnya.