Lima individu direman kes rasuah pegawai kanan TLDM

Perintah reman terhadap kesemua individu berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Perintah reman terhadap kesemua individu berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA – Lima individu direman bagi membantu siasatan ke atas beberapa syarikat yang dipercayai terlibat dalam perbuatan rasuah berkaitan urusan pelantikan syarikat kroni seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Mereka terdiri daripada pengarah syarikat, pengurus serta pemilik syarikat.

Perintah reman terhadap kesemua individu berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Empat individu direman selama tiga hari bermula Selasa, manakala seorang lagi direman tiga hari bermula Rabu bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, semua individu yang direman dipercayai mempunyai hubung kait dengan syarikat kroni seorang pegawai kanan TLDM yang memperoleh kerja-kerja di TLDM Lumut.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan perkembangan tersebut.

SPRM menahan reman lima individu berhubung siasatan kes rasuah seorang pegawai kanan TLDM. Foto: SPRM
SPRM menahan reman lima individu berhubung siasatan kes rasuah seorang pegawai kanan TLDM. Foto: SPRM

Beliau berkata, siasatan dijalankan secara profesional dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan bahawa SPRM telah membekukan tujuh akaun syarikat dan 14 akaun perbankan milik beberapa individu, dianggarkan berjumlah kira-kira RM700,000, susulan siasatan ke atas syarikat-syarikat yang dipercayai terlibat dalam kes rasuah berkaitan cadangan dan pelantikan syarikat kroni seorang pegawai kanan TLDM.

SPRM menerusi Op Layar yang dijalankan Bahagian Perisikan turut menyita dua buah hotel milik pegawai kanan TLDM terbabit yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2 juta.

Media sebelum ini turut melaporkan bahawa dua individu, iaitu seorang pengarah syarikat dan pegawai kanan TLDM berusia lingkungan 40-an dan 50-an, telah direman selama tujuh hari sehingga 29 Januari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2017 hingga 2020.

Ringkasan AI

  • Lima individu direman untuk membantu siasatan kes rasuah pelantikan syarikat kroni pegawai TLDM
  • Terdiri daripada pengarah, pengurus, dan pemilik syarikat
  • Empat individu direman selama tiga hari mulai Selasa dan seorang lagi pada Rabu
  • SPRM membekukan tujuh akaun syarikat dan 14 akaun individu dengan dana keseluruhan RM700,000
  • Dua hotel milik pegawai kanan TLDM disita bernilai kira-kira RM2 juta

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!