Dua PPS di Kuala Muda ditutup selepas paras air surut

YAN, 19 Ogos -- Anggota Pasukan Penyelamat memotong pokok yang menghempap sebuah rumah penduduk dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai masih hilang dalam kejadian banjir akibat fenomena kepala air di kawasan Titi Hayun, Yan petang semalam.
Dalam kejadian itu tiga mangsa ditemukan maut di beberapa lokasi di sekitar kawasan Gunung Jerai manakala tiga lagi mangsa dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun, setakat operasi pada 1 pagi tadi.
--fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
YAN, 19 Ogos -- Anggota Pasukan Penyelamat memotong pokok yang menghempap sebuah rumah penduduk dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai masih hilang dalam kejadian banjir akibat fenomena kepala air di kawasan Titi Hayun, Yan petang semalam. Dalam kejadian itu tiga mangsa ditemukan maut di beberapa lokasi di sekitar kawasan Gunung Jerai manakala tiga lagi mangsa dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun, setakat operasi pada 1 pagi tadi. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

ALOR SETAR - Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Muda yang menempatkan 42 orang daripada 16 keluarga terjejas banjir susulan fenomena kepala air di Gunung Jerai, Yan ditutup pada 10 pagi ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah ketika dihubungi berkata semua penduduk yang ditempatkan di PPS Dewan UMNO Gurun dan Surau Taman Lembah Merbok itu dibenarkan pulang selepas paras air di kediaman masing-masing mulai surut pagi ini.

“PPS Dewan UMNO Gurun yang menempatkan 20 orang daripada enam keluarga dibuka pada 6 petang semalam manakala PPS Surau Taman Lembah Merbok dibuka pada 9 malam tadi dan menempatkan 22 orang daripada 10 keluarga,” katanya.

Bagi daerah Yan yang turut terjejas akibat banjir dan fenomena kepala air itu, dua PPS telah dibuka iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan yang menempatkan tiga orang daripada satu keluarga dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi dibuka untuk menempatkan mangsa positif Covid-19.

Bagaimanapun, PPS SK Teroi belum menerima kemasukan penduduk yang terjejas setakat ini walaupun terdapat laporan menyatakan mangsa banjir yang terdiri daripada pesakit Covid-19 dan penduduk yang menjalani kuarantin di rumah telah dipindahkan ke PPS itu.

Selain itu, beberapa kawasan kampung di tiga mukim di daerah Bandar Baharu turut terjejas banjir akibat hujan lebat semalam dan menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan.

“Mukim terlibat ialah Selama, Bagan Samak dan Serdang yang melibatkan tiga kampung dilanda banjir akibat hujan lebat selama dua jam serta pergerakan air laju yang menyebabkan benteng sungai pecah di Sungai Kechil Hilir, Sungai Tebuk Kelantan dan Sungai Salleh,” katanya.

Jurucakap itu berkata, tiga PPS dibuka di daerah itu iaitu SK Sungai Salleh yang menempatkan 25 orang daripada lima keluarga manakala PPS SMK Lubuk Buntar dan PPS Selama masing-masing menempatkan tujuh orang daripada satu keluarga.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo yang dihubungi mengesahkan tiada mangsa banjir terdiri daripada pesakit Covid-19 dipindahkan ke PPS SK Teroi memandangkan paras air di kediaman penduduk terjejas mulai surut sejak semalam. -Bernama