1,425 permit OTS dikeluarkan MBK

Hamdan
Hamdan
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 1,425 permit jualan secara harian atau lesen On The Spot (OTS) telah dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bermula Oktober 2020 sehingga Ahad lalu.

Datuk Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, penawaran permit jualan secara harian itu sudah lama dibuka kepada penjaja dan peniaga bagi mengurangkan beban ditanggung mereka.

"Kita memahami keadaan penjaja dan perniagaan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan permit OTS yang bernilai RM10 sehari. Permit ini dikeluarkan oleh penguatkuasa MBK yang menjalankan penguatkuasaan di gerai-gerai yang beroperasi.

“Jadi, kita yakin dengan kaedah ini akan memudahkan para penjaja dan peniaga serta mereka tidak perlu hadir ke MBK untuk memohon permit perniagaan ini,” katanya pada Khamis.

Beliau menjelaskan, pendekatan ini diambil berkonsepkan empati kepada penjaja dan peniaga agar mereka tidak dikenakan kompaun kerana tidak memiliki lesen perniagaan.

Menurut beliau, pihaknya sebolehnya tidak akan mengeluarkan kompaun kepada penjaja dan peniaga, sebaliknya menawarkan permit dan nasihat kepada mereka.

“Pihak kita akan keluarkan kompaun setelah pelbagai pendekatan berhemah telah digunakan, seperti nasihat namun ia tidak diendahkan.

"Keingkaran itulah menyebabkan pihak kita bertindak untuk mengeluarkan kompaun,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Hamdan meminta agar penjaja dan peniaga dapat mematuhi syarat yang ditetapkan sebelum permit tersebut dikeluarkan.

Tegas beliau, pihaknya juga akan memastikan gerai tersebut bukan berada di laluan utama atau simpang jalan yang membahayakan orang ramai.

Beliau turut mengingatkan penjaja dan peniaga supaya membawa pulang peralatan jualan mereka dan memastikan kebersihan kawasan jualan.

Selain itu, pihaknya akan melakukan pembaharuan bagi permit pernigaaan pasar malam iaitu hanya lapan gerai sahaja dibenarkan beroperasi pada satu-satu masa.

“Kita telah meluluskan 15 lokasi tapak pasar malam dan mereka perlu melakukan penggiliran sesama mereka bagi memastikan semua peniaga mendapat giliran padamasa yang sama masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.