Ahli Parlimen UMNO, Bersatu, Bebas tiba di Istana Negara menaiki bas

Sebuah bas yang membawa masuk beberapa ahli Parlimen UMNO dilihat memasuki Pintu 2 Istana Negara. - FOTO ROSLI TALIB
Sebuah bas yang membawa masuk beberapa ahli Parlimen UMNO dilihat memasuki Pintu 2 Istana Negara. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah bas yang membawa beberapa ahli Parlimen UMNO dilihat memasuki Istana Negara melalui pintu 2 pada jam 10.35 pagi.

Antara yang kelihatan berada di dalam bas yang disewa khas itu ialah Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan beberapa individu lain dipercayai Ahli Parlimen UMNO.

Ia diikuti dengan beberapa kenderaan lain dipercayai membawa ahli-ahli Parlimen UMNO.

Selang 10 minit selepas bas yang membawa masuk beberapa ahli Parlimen UMNO, sebuah lagi bas diilihat memasuki kawasan Istana Negara.

Bas yang disewa khas itu dilihat membawa Ahli Parlimen Alor Gajah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Ahli Parlimen Julau (Bebas), Julau, Larry Sng Wei Shien pada jam 10.45 pagi.

Bas yang membawa masuk beberapa ahli Parlimen Bersatu dan Bebas dilihat memasuki Pintu 2 Istana Negara. - FOTO ROSLI TALIB
Bas yang membawa masuk beberapa ahli Parlimen Bersatu dan Bebas dilihat memasuki Pintu 2 Istana Negara. - FOTO ROSLI TALIB

Sebelum itu, kenderaan yang membawa Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dilihat memasuki Istana Negara melalui pintu 2 kira-kira jam 9.35 pagi pada Khamis.

Kehadiran Mohd Zuki dipercayai mempunyai kaitan dengan pertemuan ahli-ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Istana Negara jam 10 pagi ini.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan kehadiran ahli-ahli Parlimen pro-PN itu untuk mengesahkan surat akuan bersumpah (SD) sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri.

Jam 4 petang pada Rabu merupakan tempoh terakhir untuk semua ahli Dewan Rakyat menghantar SD nama calon Perdana Menteri pilihan mereka secara rasmi.

Ia selepas notis dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada Selasa agar kesemua ahli Dewan Rakyat mengemukakan surat akuan berkenaan secara bertulis dan disahkan benar.