Tindakan terhadap ahli Parlimen berhimpun diputuskan tidak lama lagi

Acryl Sani (dua dari kanan) bersama Rohaimi (kanan) ketika menyampaikan sumbangan Ops Bantu kepada pesara polis, Sarjan Jali Dawi (tiga dari kanan) di Seberang Takir, Kuala Nerus pada Selasa.
Acryl Sani (dua dari kanan) bersama Rohaimi (kanan) ketika menyampaikan sumbangan Ops Bantu kepada pesara polis, Sarjan Jali Dawi (tiga dari kanan) di Seberang Takir, Kuala Nerus pada Selasa.
A
A
A

KUALA NERUS - Tindakan terhadap ahli Parlimen yang terlibat dalam himpunan di Dataran Merdeka pada awal Ogos lalu akan diputuskan dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini semua yang terlibat dalam perhimpunan itu telah dipanggil untuk diambil keterangan.

"Pihak polis telah selesai menjalankan siasatan dan semua kertas siasatan telah dirujuk kepada pejabat Peguam Negara.

"Insya-ALLAH, keputusan dan tindakan akan diputuskan tidak berapa lama lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ops Bantu di kediaman pesara polis di Tepoh dan Seberang Takir, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa.

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, keadaan semasa negara terkawal susulan perkembangan politik yang berlaku pada masa ini.

"Setakat ini berkaitan ketenteraman awam kita perhatikan tiada isu.

"Sehubungan itu, kita berharap agar orang ramai kekal bertenang dan menunggu apa jua keputusan akan dibuat di Parlimen nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini telah menerima sebanyak 206 laporan berhubung perhimpunan oleh ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu.

Dalam perkembangan berasingan, Acryl Sani turut menafikan dakwaan bahawa pembekuan cuti anggota polis sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, beliau menjelaskan, pembekuan cuti yang berkuat kuasa sehingga kini sebagai persediaan terhadap sebarang kemungkinan susulan perubahan suhu politik negara.

"Cuti ini sebenarnya melibatkan pentadbiran sahaja. Kita akan mengetatkan dari segi pelepasan dan seumpamanya bagi memastikan setiap anggota dalam keadaan bersiap siaga," katanya.