Ketua parti perlu jujur sembah maklum pandangan ahli Parlimen

Semua pemimpin parti yang dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa. Gambar kecil: Muhammad Fathi
Semua pemimpin parti yang dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa. Gambar kecil: Muhammad Fathi
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pemimpin parti yang dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa diharap bersikap jujur dalam menyembah maklum pandangan ahli-ahli Parlimen daripada parti masing-masing.

Pakar perlembagaan yang juga Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, ini kerana perlembagaan menetapkan pemilihan Perdana Menteri adalah berasaskan suara ahli-ahli Dewan Rakyat bukannya suara parti.

Bagaimanapun katanya, ketua parti boleh dipanggil bagi mewakili ahli-ahli Dewan Rakyat dalam parti masing-masing.

Jelasnya, bagi parti yang ada perbezaan dalaman dari sudut sokongan kepercayaan, suara ketua parti berkenaan tidak dianggap mewakili keseluruhan ahli-ahli Dewan Rakyat dalam parti mereka.

"Ahli-ahli Dewan Rakyat yang tidak sehaluan dengan ketua itu boleh menyembah maklum kehendak mereka sama ada secara individu atau secara berkumpulan.

"Misalnya, dalam UMNO, selepas Presidennya (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) mengumumkan penarikan balik sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin, wujud dua kumpulan.

"Majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat tidak bersama dengan Presidennya. Dalam hal ini, suara Presiden UMNO tidak mewakili keseluruhan 38 ahli Dewan Rakyat parti itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan bahawa semua ketua-ketua parti atau wakil telah dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan pertemuan itu akan diadakan pada jam 2 petang di Istana Negara pada Selasa.

Tambahnya, kemungkinan besar pertemuan bersama setiap ahli Parlimen tidak dilaksanakan kerana risiko jangkitan Covid-19.

Namun ujar Muhammad Fathi, prinsip Perlembagaan yang meletakkan rujukan utama kepada suara ahli Parlimen berbanding suara parti tidak boleh diketepikan dalam amalan demokrasi.

"Jadi, kita berharap semua pemimpin parti bersikap jujur dalam menyembah maklum pandangan ahli-ahli Parlimen daripada parti masing-masing.

"Kita juga yakin dengan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam memastikan keputusan yang dibuat benar-benar menepati kehendak ahli-ahli Parlimen sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, berkenan menerima peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta.

Susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Selaras Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Seri Paduka hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.