PRK KKB: Peratusan keluar mengundi awal hampir 100 peratus

Anggota tentera menjalankan tanggungjawab mereka dengan mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) di Rejimen Semboyan Divisyen ke-4 Infantri, Kem Erskine pada Selasa. Foto Bernama
Anggota tentera menjalankan tanggungjawab mereka dengan mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) di Rejimen Semboyan Divisyen ke-4 Infantri, Kem Erskine pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

HULU SELANGOR - Peratusan keluar mengundi bagi pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang berlangsung pada Selasa mencapai 97 peratus.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan memaklumkan, peratusan itu melibatkan 769 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis dan tentera serta pasangan.

Menurutnya, proses pengundian awal bagi PRK itu berlangsung di dua lokasi iaitu Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Baharu dan Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri, Kem Erskine yang bermula pada jam 8 pahi hingga 5 petang.

"SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini (Selasa).

"Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Turut tidak dilupakan, Jabatan Penerangan Malaysia, pengamal media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR," katanya.

PRK Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dengan majoriti 4,119 undi.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April lalu sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei.

DUN Kuala Kubu Baharu memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.