'Satu lagi episod perjuangan politik saya': Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan keputusannya untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen merupakan satu lagi episod dalam sejarah perjuangan politiknya.

Jelas Muhyiddin yang juga Perdana Menteri sementara, situasi yang melandanya ketika ini adalah imbauan apa yang berlaku enam tahun lalu kerana prinsipnya untuk tidak berkompromi dengan kleptokrat.

"Enam tahun yang lalu, saya dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya ALLAH SWT mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri.

"Namun, telah ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya dalam Perutusan Khas yang disiar secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau tidak sesekali menganggap jawatan yang dipikul sebelum ini suatu kemegahan.

Sebaliknya beliau berkata, ia datang dengan suatu bebanan tanggungjawab yang berat.

"Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa yang sama saya terus digugat dari segi politik.

Artikel Berkaitan:

"Saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip saya untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi itu bukan pilihan saya.

"Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa," katanya.

Muhyiddin pada Isnin mengesahkan beliau dan barisan Kabinetnya telah meletak jawatan secara rasmi.

Beliau berkata, keputusan itu diambil susulan dirinya telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebelum itu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara berhubung statusnya sebagai Perdana Menteri.

Beliau tiba di Istana Negara melalui pintu 1 pada jam 12.23 tengah hari selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya.

Muhyiddin sebelum ini mengumumkan satu usul undi percaya akan diadakan pada 7 September depan bagi menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, kedudukannya sebagai Perdana Menteri dipertikaikan susulan penarikan balik sokongan beberapa ahli Parlimen, seterusnya mendakwa beliau hilang majoriti.

Keadaan menjadi lebih panas selepas tujuh tawaran yang dikemukakan Muhyiddin dalam perutusan khas pada Sabtu bagi menyambung hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditolak mentah oleh pembangkang.