NGO Pahang minta parti politik hentikan pergeseran

Jefri (kiri) menghantar memorandum 'Suara Masyarakat Marhain yang ditanda-tangani 27 NGO seluruh Pahang.
Jefri (kiri) menghantar memorandum 'Suara Masyarakat Marhain yang ditanda-tangani 27 NGO seluruh Pahang.
A
A
A

PEKAN - Sebanyak 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pahang meminta semua parti politik supaya segera menghentikan pergeseran sesama mereka.

Jurucakap 27 NGO berkenaan, Jefri Jaafar Tukemin berkata, sebaliknya semua wakil rakyat perlu memberi tumpuan bagi menangani pandemik Covid-19 yang dilihat kini semakin mengganas.

Menurutnya, tidak sepatutnya wakil rakyat bercakaran dan mempertahankan agenda peribadi untuk merebut kuasa dalam keadaan rakyat sudah tertekan dengan pelbagai masalah dihadapi akibat wabak Covid-19.

"Rakyat hilang punca pendapatan dan perkara ini sepatutnya diberi perhatian oleh wakil rakyat. Bukannya masing-masing terus bercakaran dan mempertahankan agenda peribadi untuk merebut kuasa.

"Tetapi, kami yakin dan serahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menentukan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghantar memorandum Suara Masyarakat Marhain yang ditandatangani 27 NGO seluruh Pahang.

Memorandum tersebut diterima Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman di pejabat Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang pada Isnin.

Antara NGO yang turut sama dalam menyampaikan memorandum itu ialah Penggerak Komuniti Negara Pahang Cawangan Pekan, Suara Anak Muda Rompin, Persatuan Orang Pencen Muadzam, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Daerah Rompin dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Raub.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Jefri turut mencadangkan agar Yang di-Pertuan Agong mempertimbangkan pembubaran Parlimen jika tidak ada penyelesaian diperoleh antara kerajaan dan pembangkang.

Tegasnya, proses pembubaran Parlimen adalah pilihan terakhir yang boleh diambil bagi menyelesaikan masalah perebutan kuasa yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

"Namun, ini bukanlah pilihan terbaik memandangkan kita tidak tahu bila wabak Covid-19 akan berakhir.

"Jadi, apalah salahnya jika semua boleh bertolak ansur, demi kepentingan rakyat," katanya.