Keputusan Najib cabar pelantikan Sri Ram, esok

Najib Tun Razak - Foto Bernama
Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini akan membuat keputusan esok berhubung permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram digugurkan daripada pasukan pendakwaan utama dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bekas perdana menteri itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan daripada peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akhram Gharib.

Terdahulu, Muhammad Shafee mempersoalkan kerahsiaan surat pelantikan yang menghalang pasukan pendakwaan daripada menunjukkannya kepada pasukan pembelaan.

"Apakah yang rahsia sangat dengan dokumen ini? Anda telah mengumumkan tentang pelantikan itu kepada media," katanya.

Dalam hujahan balasnya, Ahmad Akram berkata tiada sesiapapun yang berhak mendapatkan butiran pelantikan itu, yang termaktub di bawah Seksyen 126 Akta Keterangan 1950.

"Isu ini (pelantikan) semata-mata antara pihak yang menentang dan penasihat guamannya yang dilindungi oleh keistimewaan dan kerahsiaan," katanya.

Beliau berkata Peguam Negara boleh melantik seseorang yang sesuai dan layak sebagai Timbalan Pendakwa Raya mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah.

Minggu lepas, Peguam Negara Tommy Thomas memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pihak pembelaan dalam kes 1MDB Najib tidak mempunyai hak yang sah di sisi undang-undang untuk menuntut surat pelantikan Gopal Sri Ram sebagai Pendakwa Raya kanan kerana perkara itu merupakan keistimewaan peguam-anak guam.

Artikel Berkaitan:

Thomas berkata seseorang litigan tidak mempunyai hak di bawah undang-undang Malaysia untuk melihat surat pelantikan itu, kerana jelas ia adalah dokumen rahsia antara anak guam dan peguam.

Pada 31 Ogos lepas, Thomas mengumumkan pelantikan Sri Ram, seorang pesara Hakim Mahkamah Persekutuan, sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes 1MDB Najib dan kes yang berkaitan.

Pada 20 September 2018, Najib, 66, didakwa dengan empat pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014. - Bernama