Sila log masuk terlebih dahulu.

Kes solar: Rosmah gagal cabar pelantikan pendakwa utama

A
A
A

BERITA SEMASA 22 JUN 2023

Datin Seri Rosmah Mansor pada Khamis gagal dalam usaha mencabar pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes rasuahnya membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun sebulat suara menolak rayuan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk dapatkan kebenaran bagi permohonan semakan kehakiman atas alasan tiada merit dalam rayuan itu.

Hakim See yang menyampaikan keputusan mahkamah dalam prosiding secara dalam talian, menolak rayuan Rosmah dengan kos RM10,000.

Pada 30 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur tidak memberi kebenaran kepada Rosmah untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kesnya.

Rosmah yang memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 24 Jun 2022, menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Sebelum ini, Rosmah memohon untuk menggugurkan Sri Ram namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan kes rasuah beliau.

Rayuannya berhubung perkara itu turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Pada 1 September lepas, Mohamad Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Muzik: Elevate dari www.bensound.com

#BeritaSemasa #SinarHarian