Perolehan eksport agrikomoditi melonjak RM105 bilion

Produk berasaskan sawit menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 43 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi.
Produk berasaskan sawit menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 43 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perolehan eksport agrikomoditi dan produk agrikomoditi bagi suku kedua tahun 2021 melonjak sebanyak 65 peratus kepada RM105 bilion berbanding RM64 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, sehingga Jun tahun ini, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 43 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi, meningkat kepada RM46 bilion berbanding RM33 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan sebanyak lima peratus kepada 11.5 juta tan, kata Mohd Khairuddin.

“Pandemik Covid-19 terus memberikan kesan kepada pengeluaran dan eksport minyak sawit bukan sahaja di Malaysia malah kepada semua negara pengeluar minyak sawit dunia.

“Melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan sehinggalah kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berjadual sepanjang enam bulan ini telah memberikan kesan secara langsung kepada eksport minyak sawit dan produk berasaskan agrikomoditi itu,” katanya.

Berikutan prestasi yang memberansangkan itu, Mohd Khairuddin optimis sasaran eksport sawit sebanyak RM75 bilion tahun ini mampu dicapai meskipun negara masih berhadapan masalah kekurangan pekerja di ladang sawit.

Sementara itu, bagi produk getah yang menyumbang sebanyak 42 peratus kepada keseluruhan nilai eksport barangan agrikomoditi, ia merekodkan peningkatan sebanyak 150 peratus kepada RM44 bilion daripada RM17.77 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Mohd Khairuddin berkata, berikutan pandemik Covid-19, nilai eksport produk berasaskan lateks seperti sarung tangan getah dan lain-lain melonjak sebanyak 200 peratus kepada RM37 bilion berbanding RM12 bilion dalam tempoh sama pada tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

“Sarung tangan getah yang kebanyakannya untuk kegunaan perubatan, mencatat pertumbuhan melebihi tiga kali ganda atau 210 peratus kepada RM37 bilion berbanding RM12 bilion pada separuh pertama 2020,” katanya.

Dalam pada itu, produk berasaskan kayu-kayan telah menyumbang sebanyak 11 peratus kepada eksport barangan agrikomoditi.

Nilai eksportnya meningkat 21 peratus kepada RM12 bilion dibandingkan RM10 bilion pada tempoh sama 2020, kata Mohd Khairuddin.

Selain itu, beliau menambah eksport produk koko turut mencatatkan kenaikan sebanyak tujuh peratus kepada RM3.4 bilion berbanding tahun sebelumnya iaitu RM3.1 bilion.

Senario itu juga membabitkan produk lada yang meningkat sebanyak 19.24 peratus kepada RM62 juta berbanding RM52 juta pada tempoh sama 2020.

“Berdasarkan prestasi berkenaan, KPPK yakin prestasi eksport agrikomoditi akan mencatatkan pertumbuhan dan nilai yang lebih baik berbanding tahun 2020,” tambah beliau. - Bernama