Econsave bantu kanak-kanak terlantar

Zamzuri (tiga dari kanan) menziarahi Wan Nor Farisha dan menyerahkan sumbangan Econsave Prihatin kepada keluarganya di Kampung Bukit, Pokok Sena pada Khamis.
Zamzuri (tiga dari kanan) menziarahi Wan Nor Farisha dan menyerahkan sumbangan Econsave Prihatin kepada keluarganya di Kampung Bukit, Pokok Sena pada Khamis.
A
A
A

POKOK SENA - Nasib seorang kanak-kanak yang menderita penyakit sawan dan masalah saraf di Kampung Bukit dekat sini mendapat perhatian pihak pasar raya Econsave cawangan Pokok Sena.

Pengurus Besar Econsave Bahagian Utara 1, Zamzuri Bakar berkata, pihaknya tampil menyerahkan barangan keperluan rumah, elektrik, susu dan lampin pakai buang sumbangan Econsave Prihatin bernilai RM1,000 selepas kisah Wan Nor Farisha, 7, mendapat liputan media sebelum ini.

Menurut beliau, sumbangan tersebut juga diharapkan dapat meringankan beban bapanya, Wan Muhammad Azlin Wan Ismail, 33, yang bekerja di sebuah kilang beras dengan pendapatan RM1,200 sebulan.

"Kami difahamkan kos pengurusan dan perubatan untuk Farisha mencecah RM800 sebulan. Kami berharap akan ada lagi pihak lain dapat tampil membantu keluarga ini," katanya pada Sinar Harian selepas menziarahi keluarga berkenaan di Kampung Bukit dekat sini pada Khamis.

Sementara itu, Wan Muhammad Azlin berkata, dia dan isteri, Nurul Shuhada Zulkifli, 29, perlu memberikan perhatian penuh kepada Wan Nur Farisha yang sensitif kepada cuaca panas dan juga habuk.

Menurutnya, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar bagaikan rumah kedua anaknya itu kerana kerap demam.

"Dalam sebulan, paling lama Farisha berada di hospital selama 12 hari," katanya.

Bagaimanapun, katanya, mereka bersyukur kerana Wan Nor Farisha mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan dan digunakan sebaik mungkin untuk kegunaannya membeli susu, lampin pakai buang.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wan Muhammad Azlin berkata, dia kini sedang membina kediamannya sendiri berhampiran rumah mentuanya di Kampung Bukit, namun kini terbengkalai disebabkan kekangan kewangan dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dengan pendapatan RM1,200 sebulan memang sukar untuk saya menyiapkan rumah tersebut. Malah saya juga perlu menyara tiga lagi anak dan isteri pula suri rumah.

"Saya pun ada cuba memohon bantuan rumah Lembaga Zakat Negeri Kedah, namun perlu mendapatkan geran tanah terlebih dahulu. Saya juga ada memohon rumah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) namun tidak layak kerana perlu berumur 35 tahun ke atas," katanya.

Jelasnya, jika mereka sekeluarga dapat mendiami rumah sendiri, mereka dapat menjimatkan kos sewa rumah sebanyak RM300 sebulan dan boleh digunakan untuk keperluan lebih penting.

"Bilik Farisha juga perlu dipasang pendingin hawa kerana keadaan kesihatannya juga terjejas jika suasana dan cuaca panas," katanya yang mengakui bil elektrik rumahnya mampu mencecah ratusan ringgit setiap bulan.

Pada 19 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan penyakit sawan dan masalah saraf yang dihadapi seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun menyaksikan dia memerlukan perhatian penuh dan dijaga seperti seorang bayi.

Orang ramai yang mahu membantu keluarga ini, boleh hubungi Nurul Shuhada menerusi nombor telefon 0199211496 atau menerusi akaun bank BSN suaminya, Wan Muhamad Azlin 1412841000028063.