TNB peruntuk RM120 juta, taja biasiswa dan pinjaman boleh ubah

Gambar kecil : Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid
Gambar kecil : Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid
A
A
A

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) memperuntukkan sebanyak RM120 juta bagi tajaan biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah kepada 331 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi pada tahun ini.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dari keseluruhan RM120 juta itu, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM35 juta dalam bentuk biasiswa kepada 120 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bagi melanjutkan pelajaran dalam jurusan kejuruteraan, data sains dan analitik, sains komputer, perakaunan dan pengajian perniagaan.

"Penerima biasiswa itu dipilih daripada sejumlah 8,400 pemohon di seluruh negara yang mengemukakan permohonan untuk biasiswa YTN.

"Seramai 100 penerima biasiswa YTN tersebut akan melanjutkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), manakala baki 20 pelajar lagi akan melanjutkan pengajian di universiti luar negara," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, tajaan biasiswa penuh itu merangkumi elaun sara hidup, yuran pengajian, kos pembelian komputer peribadi, buku dan lain-lain keperluan.

"YTN memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi pembiayaan seorang pelajar sepanjang tempoh pengajian di universiti luar negara, manakala RM120,000 hingga RM140,000 bergantung kepada bidang pengajian bagi pembiayaan pengajian seorang pelajar di Uniten.

“Penerima biasiswa YTN pada tahun ini dipilih berdasarkan faktor akademik, kualiti kepimpinan dan penglibatan aktif dalam kokurikulum," jelasnya.

Tambah beliau, pelajar yang terpilih itu juga mempunyai peluang untuk menjadi warga kerja TNB apabila tamat pengajian kelak dan diharapkan dapat menjadi pemimpin pelapis untuk menerajui syarikat tersebut pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

"Pelajar-pelajar tersebut telah membuktikan bahawa mereka mampu mendapat keputusan cemerlang meskipun terpaksa berdepan dengan situasi pembelajaran dalam talian berbanding pembelajaran secara konvensional iaitu secara bersemuka lantaran penularan Covid-19.

"Tajaan biasiswa ini merupakan satu lagi komitmen TNB untuk terus bersama rakyat, selain membantu usaha meningkatkan modal insan berkualiti bagi pertumbuhan negara di masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata, seramai 211 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM85 juta pula terpilih menerima pinjaman pendidikan boleh ubah untuk mengikuti pengajian di Uniten dan universiti awam bagi mengikuti pengajian di peringkat diploma, program asas dan ijazah sarjana muda.

Jelas beliau, YTN memperuntukkan lebih RM1.2 bilion sejak dari tahun 1993 dengan memberikan peruntukan dermasiswa MyBF sebanyak RM66 juta, selain biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman pendidikan boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 pelajar.