Warisan konsisten tolak segala tawaran, ibaratkan seperti 'gula'

Jaujan Sambakong, Darrel Leiking
Jaujan Sambakong, Darrel Leiking
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan Sabah (Warisan), konsisten menolak segala tawaran yang dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk yang diumumkan pada petang Jumaat.

Timbalan Presidennya, Datuk Darell Leiking menegaskan cadangan yang ditawarkan itu diibaratkan seperti gula dan boleh dilaksanakan jika penubuhan kerajaan baharu dilakukan.

"Pihak kami selalu konsisten menolak tawaran daripada Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri. Andaian beliau bahawa cadangan reformasi yang dia telah dibuat tidak boleh kami lakukan sendiri jika menubuhkan kerajaan baharu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

Darell yang juga ahli Parlimen Penampang mengingatkan bahawa urusan pentadbiran kerajaan tidak akan terganggu jika berlaku pertukaran kerajaan.

"Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah mengeluarkan kenyataan pada minggu lalu bahawa pentadbir awam, misi untuk melawan Covid-19 dan pemulihan ekonomi tidak akan terjejas dengan keadaan politik sekarang.

"Ertinya, CUEPACS telah memberi jaminan kepada rakyat keseluruhannya bahawa kerajaan biarpun ada pertukaran kerajaan, pentadbiran akan diteruskan, akan buat kerja mereka dengan terbaik dan tidak akan terjejas," katanya.

Sehubungan itu, Darell menasihatkan supaya Muhyiddin meletak jawatan secara terhormat sebagai Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan 43(4).

"Sebab dia tahu dan dia juga mengaku telah hilang majoriti dengan apa yang dia tawarkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong menyifatkan tawaran tujuh perkara kepada pihak pembangkang sebagai 'talian hayat' bagi Muhyiddin mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri.

"Bagi saya cukuplah, beliau perlu letak jawatan sebab terbukti kerajaan PN di bawah pimpinannya gagal mengurus tadbir negara yang dilanda pandemik Covid-19, krisis ekonomi yang merudum, kestabilan politik yang semakin bercelaru.

"Bukan saja ahli-ahli parlimen yang hilang keyakinan, bahkan suara kebencian rakyat terhadap kerajaan PN semakin meningkat dan membara," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, lebih baik Muhyiddin meletakkan jawatan dengan segera demi menyelamatkan kemelut politik berlarutan.

"Tawaran tujuh perkara itu tidak dapat menjamin keadaan sekarang," katanya.