Kenderaan plat ‘Isteri YAB Perdana Menteri' disedia kerajaan Sabah

Mokhzani berkongsi kisah di sebalik penggunaan plat tersebut di laman sosial Facebook miliknya.
Mokhzani berkongsi kisah di sebalik penggunaan plat tersebut di laman sosial Facebook miliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah kenderaan menggunakan nombor plat 'Isteri YAB Perdana Menteri' yang kini tular di media sosial menjadi pertikaian daripada sesetengah pihak.

Difahamkan, kenderaan itu merupakan kereta rasmi Sabah yang digunakan oleh isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa persidangan Pandu Puteri di Kota Kinabalu, Sabah.

Seorang pengguna Facebook, Datuk Mokhzani Ismail yang juga Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagaimanapun, berkongsi kisah di sebalik penggunaan plat tersebut.

Jelasnya, difahamkan kerajaan Sabah yang menyediakan kenderaan berkenaan.

"Kerajaan Sabah bagi kereta itu dan tulis 'Isteri YAB PM', lagipun dia memang layak. Kalau Dr Wan Azizah beli gam gajah dan lekat sendiri nombor plat itu, cerita lainlah.

"Tulis nombor atau nama salah, tidak bubuh langsung pun salah," katanya dalam satu perkongsian di Facebook pada Sabtu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agak tidak perlu bersusah payah untuk memeriksa plat tersebut di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Tiada salah apa lah. Dah dia pun isteri PM. Bukan dia pakai di Kuala Lumpur.

"Banyak lagi dalam kepala mahu fikir hal lain. Pagi tadi sempat teman isteri hantar isteri PM. Ingat nak selfie tapi tidak sempat, fikir mahu cari lembu korban lagi banyak pahala," guraunya.