KKM guna peranti elektronik kepada individu kuarantin di rumah

Dr Chee Kheong
Dr Chee Kheong
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan penggunaan peranti elektronik (digital tracker) bagi memperkukuhkan penguatkuasaan digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF), Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata, sebagai projek rintis, 1,000 unit peranti telah dipasang terhadap pengembara yang telah mendapat kebenaran untuk kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman.

"Peranti elektonik ini dicadang untuk diguna pakai bagi membantu pihak KKM memantau pergerakan individu dari luar negara atau kontak rapat dan individu yang mengalami gejala sementara menunggu keputusan ujian Covid-19," katanya pada sidang akhbar Covid-19 di Ibu Pejabat KKM di sini pada Jumaat.

Menurutnya, pesakit Covid-19 kategori satu dan dua yang diarahkan untuk menjalani kuarantin dan isolasi wajib di rumah turut terlibat dalam projek rintis tersebut.

"Melalui pelaksanaan sistem kawalan kuarantin ini, individu berkenaan dapat dipantau dengan lebih berkesan dan pada masa yang sama maklumat kesihatan individu tersebut dapat diperoleh serta direkodkan secara digital," katanya.

Beliau berkata, projek rintis itu dilaksanakan secara penyumberluaran di mana perkhidmatan pemasangan dan pemantauan dilakukan sepenuhnya oleh pihak syarikat.

Dr Chee Kheong berkata, penguatkuasaan bagi pelanggaran terhadap pemantauan tersebut akan dijalankan oleh KKM dengan bantuan Polis Diraja Malaysia.

"Justeru, perolehan sepenuhnya sebanyak 30,000 unit peranti akan dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada perkembangan sama, GKV STF sedang memantau seramai 80,000 kes positif di tempat kediaman setiap hari.

"Daripada jumlah ini, 50 peratus daripada mereka merupakan kategori satu, 30 peratus kategori dua dan bakinya 20 peratus mempunyai warning signs," katanya.

Tambahnya, daripada pesakit yang mempunyai warning signs, seramai 800 individu perlu dihubungi secara dalam talian.

"Bagi pesakit yang lain, mereka akan dihubungi secara SMS dan Robocall," katanya.