'Ustaz Budak' mengaku tidak bersalah cabul kanak-kanak

Syamsul Zaman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun 3 Ogos lalu. - Foto Bernama
Syamsul Zaman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun 3 Ogos lalu. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Seorang pendakwah bebas yang lebih dikenali sebagai 'Ustaz Budak' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Pasir Mas di atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun 3 Ogos lalu.

Syamsul Zaman Sukri, 33, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy yang dijalankan secara dalam talian bagi membendung penularan Covid-19.

Menurut kertas pertuduhan, pada 3 Ogos lalu, Syamsul Zaman didakwa dengan maksud mencabul seorang kanak-kanak di sebuah bilik tidur di sebuah rumah dekat Kampung Sat Tengah, Tanah Merah pada jam 9.45 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Ahmad Adha turut memohon jaminan yang minimum diberikan kepada anak guamnya.

Hajarul Falenna bagaimanapun tidak mencadangkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh ekoran ia melibatkan kes cabul terhadap remaja bawah umur.

Mahkamah juga tidak membenarkan sebarang jaminan diberikan dan tertuduh ditempatkan di Penjara Machang sepanjang perbicaraan kes berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 19 September depan untuk sebutan semula kes dan laporan perubatan mangsa.

Untuk rekod, sebelum ini, pendakwah berkenaan pernah didakwa dengan 12 kes yang membabitkan jenayah seksual namun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu yang masih di peringkat perbicaraan.