Hospital di Perak tidak kenakan caj bayaran pengurusan jenazah Covid-19

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

IPOH - Hospital di Perak tidak mengenakan sebarang caj bayaran bagi pengurusan jenazah yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, pihak hospital menyerahkan jenazah Covid-19 yang beragama Islam kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk pengurusan seterusnya, manakala bukan Islam diuruskan oleh satu konsortium swasta.

“Pihak hospital memang tidak mengenakan sebarang bayaran untuk pengurusan jenazah Covid-19, tetapi kita tidak tahu sekiranya mereka (waris) mengambil mana-mana perkhidmatan syarikat atau individu selepas keluar dari hospital,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Menurut beliau waris mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19 boleh menggunakan bantuan khas sebanyak RM5,000 dari kerajaan, yang diberikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi urusan pengebumian.

Sementara itu, Pengarah JAIPk Datuk Mohd Yusop Husin berkata pihaknya juga tidak mengenakan sebarang caj semasa pengurusan jenazah Covid-19, dan kemungkinan terdapat bayaran dikenakan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan.

“Saranan saya biarlah caj berpatutan sekiranya ada, tidak membebankan dan permudahkanlah proses pengebumian termasuklah lokasi yang melibatkan pemastautinan jenazah,” katanya.

Sebelum ini, media tempatan menyiarkan pendedahan bayaran pengurusan jenazah sebahagian pesakit Covid-19 di unit forensik beberapa hospital di Kelantan antara RM1,300 hingga RM1,800, membabitkan proses tayamum tidak termasuk bayaran keranda, solat jenazah, liang lahad dan pengurusan lain.

Di Negeri Sembilan pula, beberapa syarikat dilaporkan dikesan mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran terlalu tinggi, untuk menguruskan mayat bukan Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 sehingga membebankan waris termasuk membabitkan pusat pembakaran mayat.

Artikel Berkaitan:

Kadar kematian yang tinggi akibat jangkitan Covid-19 khususnya di Selangor juga dilaporkan, menyebabkan terdapat pihak yang didakwa cuba mengaut keuntungan dengan mengenakan caj tinggi untuk menguruskan jenazah.-Bernama