Ustaz Soberi meninggal dunia akibat serangan jantung

Keputusan bedah siasat mendapati punca kematian Soberi disebabkan serangan jantung.
Keputusan bedah siasat mendapati punca kematian Soberi disebabkan serangan jantung.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan bedah siasat mendapati punca kematian Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Isma (MUIS), Dr Mohd Soberi Awang disebabkan serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kematian penceramah berusia 59 tahun itu dilaporkan pada jam 7.45 pagi.

"Beliau adalah pensyarah sebuah universiti di Nilai, Negeri Sembilan dan juga merupakan penceramah bebas.

"Mangsa dilihat menahan kesakitan dan terus tidak sedarkan diri semasa sedang menyampaikan kuliah pagi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Shah Alam dan disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Shah Alam mendapati punca kematian akibat serangan jantung," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video yang memaparkan Mohd Soberi menahan kesakitan sebelum rebah ketika menyampaikan kuliah Subuh di sebuah surau.