Bentang pelan keselamatan sebelum buka semula sekolah

Azizi Abd Hamid
Azizi Abd Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Pembukaan sekolah perlu ditangguhkan sehingga pelan keselamatan yang jelas dapat dibentangkan kepada ibu bapa dan guru-guru agar situasi pada Mac dan April lalu tidak berulang.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam, Datuk Azizi Abd Hamid berkata, perbincangan bersama semua pemegang taruh mesti diadakan sebelum keputusan itu dibuat.

Menurutnya, perbincangan tersebut adalah penting untuk mendapatkan pandangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat sekeliling serta input permasalahan yang dihadapi.

Beliau turut mencadangkan agar sekolah dibuka secara penggiliran di mana kaedah pembelajaran secara serentak dilaksanakan iaitu bersemuka di sekolah dan dalam talian menerusi sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Ini disebabkan oleh prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilaksanakan di dalam bilik darjah dan membantu sekolah-sekokah yang kekurangan tenaga pengajar dan kekurangan bilik darjah tambahan.

"Sebagai contoh, pada minggu pertama persekolahan kumpulan A akan berada di sekolah dan kumpulan B akan belajar secara PdPR yang disiarkan secara langsung dalam kelas mereka.

"Pada minggu kedua pula kumpulan B akan ke sekolah dan kumpulan A akan belajar secara PdPR dan cadangan ini pernah saya utarakan ketika menjadi panelis dalam program Wacana Sinar Harian sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Azizi turut mencadangkan beberapa perkara lain termasuk bantuan kewangan diberikan kepada pengusaha bas dan van yang terkesan selama hampir dua tahun ini jika cadangan pembelajaran serentak di sekolah dan di rumah itu dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau turut menyarankan agar kajian mengenai kaedah yang sesuai untuk penyediaan makanan anak-anak di sekolah di mana ramai pengusaha kantin yang telah menyerah kalah ketika ini akibat pandemik Covid-19.

Pada masa sama, katanya, sistem jalur lebar di sekolah juga perlu ditingkatkan ke tahap yang tertinggi agar pembelajaran secara digital dapat dilaksanakan tanpa membebankan pihak-pihak yang melaksanakan penyampaian pembelajaran.

"Kerajaan perlu menaik taraf kelengkapan dan kemudahan yang disediakan bagi pembelajaran secara maya kepada semua guru-guru agar penyampaian serentak secara bersemuka dan PdPR terlaksana.

"Ini kerana pandemik ini tidak akan berakhir sehingga diistiharkan sebagai endemik (seperti jangkitan selsema atau denggi) dan sudah tiba masa pembelajaran secara digital sepenuhnya dilaksanakan pada masa akan datang sebagai normal pembelajaran baharu," katanya.

Dalam pada itu, Azizi mengakui cadangan seperti itu akan menyebabkan kos pembelajaran meningkat sekali gus membebankan keluarga kurang mampu namun dengan keperihatinan kerajaan dan kebersamaan majikan ibu bapa yang bekerja di sektor swasta demi kelangsungan pendidikan, ia akan dapat diatasi dengan sebaiknya.

"Kerajaan tidak perlu projek-projek yang tidak memberikan impak kepada ekonomi sedangkan belanjawan kewangan tersebut boleh disalurkan kepada tujuan ini.

"Pendek kata, jika pihak terbabit dapat duduk semeja dan mendengar idea-idea dari semua pihak pasti akan ada jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi," katanya.

Tambahnya, sudah tiba masa kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat persediaan dalam mengorak langkah perubahan kepada sistem pembelajaran secara digital sepenuhnya dan pembelajaran secara maya dilaksanakan.