Jemaah haji dinasihat buat Tawaf Qudum waktu malam

Jemaah haji MKM melakukan Tawaf Qudum pada waktu malam untuk mengelakkan suhu panas.Foto Ihsan MKM
Jemaah haji MKM melakukan Tawaf Qudum pada waktu malam untuk mengelakkan suhu panas.Foto Ihsan MKM
A
A
A

SHAH ALAM - Jemaah haji Malaysia dinasihatkan melakukan Tawaf Qudum pada waktu malam untuk mengelakkan risiko terkena strok haba ekoran suhu panas di Tanah Suci Makkah yang pernah mencecah 50 darjah Celsius pada Isnin lalu.

Pengarah Operasi Haji, MKM Ticketing Travel & Tours (MKM), Dr Abdul Hadi Abdul Raman berkata, keadaan suhu di Tanah Suci Makkah sepanjang minggu ini juga tinggi iaitu antara 40 hingga 43 darjah Celsius.

"Suhu pada waktu malam lebih rendah iaitu sekitar lebih 30 darjah Celcius yang boleh memberi sedikit keselesaan kepada jemaah dalam mengerjakan ibadah tawaf ini.

"Ia kerana selain berdepan suhu yang panas, keadaan semasa tawaf juga sesak jadi ia boleh meningkatkan risiko strok haba," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tawaf Qudum bermaksud tawaf yang dilakukan oleh jemaah haji sewaktu pertama kali tiba di Masjidil Haram setelah datang ke Makkah.

Perkataan 'Qudum' dalam bahasa Arab bermaksud kedatangan dan oleh itu Tawaf Qudum boleh diertikan sebagai 'Tawaf Selamat Datang'.

Abdul Hadi yang juga Ketua Pegawai Strategik MKM berkata, setiap kali masuk musim haji sememangnya jemaah akan berdepan dengan kesesakan ketika melakukan ibadah tawaf kecuali ketika waktu duha.

"Waktu duha mungkin jemaah yang bertawaf kurang sedikit jadi boleh rebut peluang untuk melakukan tawaf pada masa berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, jemaah juga boleh menaiki kereta 'buggy' atau skuter untuk mengelak kesesakan tawaf di tingkat bawah," ujarnya.

Menurut Abdul Hadi, Lembaga Tabung Haji (TH) dan MKM sendiri yang turut menguruskan jemaah haji sentiasa memantau keadaan kesihatan jemaah untuk memastikan mereka dapat menyempurnakan ibadah haji sepanjang musim haji tahun ini.

Katanya, jemaah haji, ahli keluarga mereka dan orang ramai boleh melayari laman sesawang www.mkm.my bagi mengetahui perkembangan semasa ibadah haji serta untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung pakej haji serta umrah yang ditawarkan MKM.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!