PRK Sungai Bakap: Bekas guru diumum calon Kerajaan Perpaduan

Joohari (kiri) dari PKR diumumkan sebagai calon Perpaduan dalam PRK Sungai Bakap.
Joohari (kiri) dari PKR diumumkan sebagai calon Perpaduan dalam PRK Sungai Bakap.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) diumumkan sebagai calon Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Pengumuman tersebut dibuat Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Jentera Pilihanraya Kerajaan Perpaduan, Rafizi Ramli pada Malam Pengumuman Calon Perpaduan PRK Sungai Bakap di Simpang Ampat di sini, pada malam Rabu.

Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Pengerusi PKR Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar; Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir serta pemimpin Pakatan Harapan dan BN peringkat negeri.

Dr Joohari yang juga bekas guru berusia 60 tahun dan merupakan anak jati Sungai Bakap.

Beliau menjawat jawatan Pengarah IAB Cawangan Utara di Jitra, Kedah sejak April 2018 hingga 1 September 2023.

Beliau sebelum itu mula bertugas di institusi tersebut sebagai pensyarah pada 2006.

Dr Joohari memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya pada 1987 dan bertugas sebagai guru di Sekokah Menengah Kebangsaan (SMK) Serdang, Kedah.

Selepas itu, beliau meneruskan kerjaya sebagai guru di SMKA Nibong Tebal seterusnya di SMK Saujana Indah, Nibong Tebal.

Artikel Berkaitan:

Beliau pernah dianugerahkan Guru Inovatif Daerah Seberang Perai Selatan pada tahun 2000, Tokoh Belia Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pada tahun 2005.

Kemudiannya, Dr Joohari dianugerahkan Ijazah Kedoktoran dari Universiti Sains Malaysia dengan pengkhususan dalam bidang Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan pada tahun 2014.

Beliau pernah dianugerahkan dengan beberapa pengiktirafan antaranya sebagai ‘Certified Trainer’ dan ‘Certified Coach’ daripada IAB sejak tahun 2006 serta Pakat Negara dalam Pengajaran (PAJAR) daripada Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2016.

Dr Joohari juga dianugerahkan Pemimpin Berinspirasi daripada Jemaah Nazir Negeri Kedah pada 2023 sebelum menamatkan perkhidmatannya sebagai penjawat awam pada 1 September 2023.

Kerusi Sungai Bakap telah dikosongkan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Nor Zamri meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya selepas dirawat lebih tiga minggu kerana komplikasi perut.

Nor Zamri dari Pas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri lalu menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose menang dengan majoriti 1,563 dengan mendapat undian 15,433.

Susulan daripada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Sungai Bakap akan diadakan pada 6 Julai ini.

Sementara penamaan calon pula ditetapkan pada 22 Jun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!