Negara turut berdepan krisis perlembagaan

Syahrin
Syahrin
A
A
A

SHAH ALAM – Selain krisis tiga serangkai yang melibatkan politik, ekonomi dan kesihatan, negara turut berdepan dengan krisis perlembagaan, kata Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syahrin Hamidon.

Menurut beliau, usaha untuk menangani permasalahan tersebut perlu dijalankan secara serentak kerana ia saling berkait antara satu sama lain.

“Pada saya, selain daripada krisis tiga serangkai itu, kita turut menghadapi krisis perlembagaan.

“Nak kata (krisis) mana yang perlu diselesaikan dahulu, saya rasa semuanya berangkai.

“Oleh kerana krisis berangkai, jadi kita kena selesaikan semua itu secara serentak kerana ia berkait antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-279 yang bertajuk 'Krisis Tiga Serangkai: Politik, Ekonomi dan Kesihatan' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis adalah Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Lukman Sheriff Alias dan Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahya, manakala Edlynna Hanie Hamid selaku moderator.

Dalam pada itu, Syahrin berkata, usahawan kini mengharapkan bantuan daripada kerajaan bagi menampung kerugian perniagaan mereka akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada Jun lalu menyebabkan sumber pendapatan dan simpanan mereka semakin berkurang.

“Pada masa yang sama, sebagai usahawan kita ada tanggungjawab kita kepada pekerja-pekerja.

“Jadi usahawan ada tiga elemen iaitu kena bayar sewa, upah gaji dan kos operasi.

“Bila kita tidak dapat keluar rumah daripada bulan Jun hari itu, jadi kita boleh bayangkan kita punya simpanan hampir kosong,” katanya.