X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Tindakan tegas jika palsukan sijil vaksinasi

Dr Noor Azmimemberi suntikan vaksin kepada seorang warga pendidik ketika hadir program Vaksinasi Berpusat Warga Pendidik dan Sokongan di Dewan Ibnu Khaldum SMK Abu Bakar Al-Baqir, Bagan Serai pada Selasa.
A
A

BAGAN SERAI - Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati memalsukan sijil digital vaksinasi kononnya sudah lengkap menerima vaksin bagi mendapatkan kelonggaran.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya memandang serius perbuatan menipu untuk mendapatkan kelonggaran seperti merentas daerah dan negeri dengan sijil vaksinasi digital palsu tersebut.

Bagi memastikan perkara tersebut tidak berlaku, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggunakan pelbagai kaedah sesuai bagi mengesan penipuan sijil vaksinasi dengan tindakan sewajarnya.

"Saya amat kesal ada orang yang cuba menipu. Menipu ini adalah satu perbuatan yang keji. Saya rasa dalam semua agama dilarang menipu. Sepatutnya kita kena jujur dengan urusan seharian kita.

"Sebab itu timbul berita palsu dan sekarang timbul pula penipuan untuk mendapatkan sijil vaksinasi. Itu merupakan kesalahan dan kita akan siasat secara terperinci jika berlaku.

"Kementerian Kesihatan dan penguat kuasa akan lebih berhati-hati untuk membuat semakan bagi memastikan ketulenannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Vaksinasi Berpusat Warga Pendidik dan Sokongan di Dewan Ibnu Khaldum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al-Baqir di sini pada Selasa.

Dr Noor Azmi berkata, pihaknya juga mengarahkan penguat kuasa supaya membuat pemeriksaan lebih teliti bagi mengelak sebarang penipuan dan pemalsuan sijil vaksinasi berkenaan.

Jelas beliau, isu berkenaan juga akan dibawa ke dalam satu mesyuarat khas KKM bagi membincangkan kaedah terbaik untuk mengesan pemalsuan sijil berkenaan.

Sementara itu, mengenai pemilik dan pekerja restoran yang masih belum menerima vaksin, beliau menyarankan agar mereka segera mendapatkannya terlebih dahulu sebelum membenarkan pelanggan makan di dalam restoran bagi mengelak risiko jangkitan.

"Saya menggesa pemilik premis dan pekerja restoran supaya mendapatkan vaksin sekurang-kurangnya satu dos suntikan. Kita amat bimbang sebenarnya apabila dibenarkan 'dine-in', kita harap orang ramai jaga betul-betul prosedur operasi standard (SOP).

"Kita perlu risau walaupun semua seronok sebab sudah lama tak makan di kedai. Selepas makan, jangan duduk lama-lama dalam kedai," katanya.

Pada Isnin, Dr Noor Azmi menyarankan golongan warga emas, kanak-kanak dan ibu mengandung untuk tidak makan di restoran meskipun kerajaan membenarkan 'dine-in' bermula Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: KKM tak galak golongan berisiko makan di kedai


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!