'Kami takut nak bagi dine-in'

Restoran Iqa Corner, Malim Nawar di sini masih tidak membenarkan pelanggan makan di premis berkenaan disebabkan pekerja masih tidak menerima vaksin sepenuhnya.
Restoran Iqa Corner, Malim Nawar di sini masih tidak membenarkan pelanggan makan di premis berkenaan disebabkan pekerja masih tidak menerima vaksin sepenuhnya.
A
A
A

KAMPAR - Kerajaan diminta memberi kelonggaran kepada pekerja restoran mendapatkan vaksin tanpa temu janji di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memastikan kelonggaran untuk makan di dalam restoran dilaksanakan dengan lebih selamat.

Seorang pemilik restoran, Nurul Atiqah Adu Rahaman, 29, berkata, biarpun kelonggaran untuk penerima vaksin lengkap dibenarkan untuk makan di dalam premis bermula Selasa, kedainya masih kekal dengan pelanggan hanya membungkus makanan.

Menurutnya, tindakan itu dibuat kerana hampir kesemua pekerjanya masih belum menerima vaksin dan situasi itu dibimbangi memberikan risiko kepada perniagannya.

"Saya sebenarnya lebih risaukan pekerja kerana mereka belum divaksin. Saya sendiri pun masih satu dos suntikan. Kalau mereka dijangkiti Covid-19, risiko lebih tinggi tambahan pula mereka masih muda dalam lingkungan 20-an.

"Memanglah kalau orang 'dine-in' untung tapi bagi saya soal kesihatan dan keselamatan pekerja serta pelanggan lebih penting. Jadi, saya ambil keputusan selagi semua belum divaksin, kami tak akan benarkan pelanggan 'dine-in' walaupun permintaan tinggi," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Restoran Iqa Corner, Malim Nawar, di sini pada Selasa.

Menurutnya, selain itu, prosedur operasi standard (SOP) untuk makan di dalam restoran juga belum jelas sepenuhnya dari segi umur pelanggan, penjarakan meja dan sebagainya.

Nurul Atiqah berkata, dengan SOP yang tidak jelas itu dibimbangi mendatangkan masalah kepada pemilik restoran apabila berurusan dengan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Nurul Atiqah memasang notis di kedainya bagi memberikan penjelasan kepada pelanggan mengenai keputusan untuk tidak membenarkan makan di dalam premis walaupun kepada individu yang lengkap dua doa vaksin.
Nurul Atiqah memasang notis di kedainya bagi memberikan penjelasan kepada pelanggan mengenai keputusan untuk tidak membenarkan makan di dalam premis walaupun kepada individu yang lengkap dua doa vaksin.

"Setakat kita tak dapat lagi SOP yang lebih terperinci. Adakah orang yang bawa anak kecil boleh duduk semeja atau sebaliknya. Kami tak boleh memandai-mandai sebab takut dikenakan tindakan.

"Kami juga tak mahu bergaduh dengan pelanggan sebab SOP tak jelas ini. Biarlah kami jual secara bungkus dahulu dan apabila sudah ada garis panduan jelas kita akan pertimbangkan untuk 'dine-in'," katanya.

Pada masa sama, Nurul Atiqah menggesa kerajaan mengeluarkan sijil digital vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera selepas tempoh yang dibenarkan untuk kelonggaran diberikan.

Katanya, perkara itu penting bagi memudahkan semakan dibuat oleh samada pihak restoran mahupun pelanggan yang sudah menerima dos vaksin lengkap.

Pada 8 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran dengan membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri, solat berjemaah di masjid dan surau serta 'dine-in' di restoran bermula Selasa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan itu terbahagi kepada dua iaitu semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara dan kepada negeri yang berada di fasa dua dan seterusnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Individu lengkap vaksinasi boleh rentas negeri, 'dine-in' bermula Selasa.