Ketamadunan Barat beri kesan negatif masyarakat madani

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Konsep sekularisme dalam tamadun Barat memberi kesan negatif terhadap masyarakat madani apabila negara Barat yang menumpang tamadun Islam mengambil ilmu duniawi tanpa dasar Islam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, maka disebabkan itu aspek kebendaan akan menjadi matlamat utama kerana terpesong daripada tujuan penciptaan manusia.

Beliau berkata, sifat persaudaraan, kemanusiaan yang bermasyarakat turut menjadi lemah kerana mereka mengejar keuntungan pendapatan daripada sudut harta, kuasa yang rakus dan kepuasan nafsu untuk menjajah.

“Hari ini dapat disaksikan akibatnya setelah bidang sains perubatan mencipta pelbagai penggunaan ubat-ubatan yang melampau kesan sampingannya selain penggunaan dadah berbahaya yang merebak.

“Begitu juga, perlumbaan senjata yang lebih ganas daripada binatang, mengejar kekayaan dan kurang peduli terhadap kalangan mereka yang miskin dan papa, serta tamak mengejar pembangunan tanpa mesra alam sekitar,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, tamadun yang dibina bersama dengan negara yang beriman, berilmu dan berakhlak akan mencapai hikmah tujuan manusia diciptakan oleh ALLAH SWT.

Menurutnya, hanya Islam sahaja agama sempurna yang dapat mewujudkan tamadun manusia yang benar-benar memakmurkan bumi.

Ujarnya, Nabi Muhammad SAW melahirkan semula tamadun Islam pada akhir zaman dengan tiga ciri utama iaitu bernegara, bermasyarakat dan berilmu.

Artikel Berkaitan:

“Pada permulaan pembentukannya, ALLAH SWT menurunkan wahyu pertama daripada al-Quran yang menjadi mukjizat ilmu bagi memenuhi ciri-ciri tersebut,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, konsep ilmu wahyu yang teguh dan istiqamah, mendahulukan perdamaian serta keterbukaan terhadap ilmu duniawi yang ditunjukkan oleh negara Madinah bermanfaat kepada semua pihak.

“Ia termasuk lah daripada bukan Islam dan warisan yang bermanfaat daripada seluruh tamadun terdahulu.

“Konsep yang dilaksanakan itu berjaya meningkatkan kemajuan ilmu dalam negara,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan Islam semakin meluas menerima para ilmuwan dan bijak pandai daripada kalangan bukan Islam yang ditindas oleh kerajaan masing-masing serta cemburu terhadap pengaruh mereka.

Beliau berkata, ramai dalam kalangan mereka terus memeluk Islam dan menjadi penganut yang setia serta bersedia untuk menjadi rakyat yang berfaedah kepada negara tanpa dipaksa.