Maritim tahan bot nelayan disyaki langgar syarat lesen

Bot nelayan tempatan yang ditahan di perairan Rompin pada Ahad kerana disyaki melanggar syarat lesen. - Foto Maritim Malaysia Pahang
Bot nelayan tempatan yang ditahan di perairan Rompin pada Ahad kerana disyaki melanggar syarat lesen. - Foto Maritim Malaysia Pahang
A
A
A

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana disyaki melanggar syarat lesen.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, bot bersama tekong dan lima awak-awak warga Vietnam termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) ditahan di lokasi kira-kira 24.2 batu nautika timur muara Sungai Nenasi, Rompin pada Ahad.

Menurutnya, bot terbabit dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan mencurigakan semasa rondaan aset Maritim Malaysia dalam Ops Makmur di kawasan perairan itu.

"Menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia, bot terbabit cuba melarikan diri namun cubaan mereka berjaya dihalang dan ditahan.

"Pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan yang dikendalikan enam kru termasuk tekong berusia antara 26 sehingga 53 tahun itu disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan," katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.

Amran berlata, semua kru termasuk tekong yang ditahan dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading bersama peralatan menangkap ikan serta hasil laut yang dirampas.

"Mereka diarah menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Rompin sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Tambah beliau, sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

Artikel Berkaitan: