750 petugas kesihatan Kedah positif Covid-19

Dr Othman
Dr Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesahkan 750 petugas kesihatan di hospital awam dan swasta di negeri ini dijangkiti Covid-19 sehingga 31 Julai lalu.

Pengarahnya, Dr Othman Warijo berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 85 kes berlaku tahun lalu dengan kadar 0.36 peratus daripada keseluruhan petugas kesihatan di Kedah.

Menurutnya, data sehingga 31 Julai 2021 pula merekodkan 665 kes atau kadar insidens 2.83 peratus petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 dan kadar itu selari dengan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

"Analisis lanjut data kes pada tahun 2021 menunjukkan petugas kesihatan yang disahkan positif melibatkan semua peringkat umur iaitu 20 hingga 60 tahun dengan 69 peratus adalah petugas wanita dan melibatkan pelbagai kategori petugas kesihatan.

"Analisis selanjutnya menunjukkan, 99.7 peratus daripada kes sepanjang 2021 adalah bergejala ringan atau tanpa gejala. Tiada kematian berkaitan Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan dilaporkan sehingga 31 Julai 2021, " katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dr Othman memberitahu, pecahan kes mengikut tahap klinikal ialah sebanyak 299 petugas atau 44.9 peratus dalam kategori satu (tanpa gejala), 364 (54.7 peratus) petugas kesihatan kategori dua (gejala ringan), seorang (0.02 peratus) dalam kategori tiga (jangkitan paru-paru) dan seorang (0.02 peratus) dalam kategori empat (perlu bantuan oksigen).

Menurutnya, rekod pihaknya mendapati 59 peratus daripada kes mendapat jangkitan adalah berlaku di luar tempat kerja.

"Jangkitan di tempat kerja bagaimanapun masih berlaku dan memerlukan penambahbaikan segera.

Artikel Berkaitan:

"Bagi menangani isu ini, semua petugas kesihatan di sektor awam dan swasta serta para sukarelawan dinasihatkan, diberi latihan dan dipantau supaya mematuhi langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi di tempat kerja," ujarnya.

Dr Othman memberitahu, semua petugas kesihatan terus diingatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan langkah-langkah pencegahan ketika berada di rumah dan tempat awam.

Jelasnya, walaupun kadar jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan masih berlaku di negeri itu, JKN Kedah berpandangan isu berkenaan terkawal dan tidak menjejaskan perkhidmatan kesihatan.