Pencapaian di Tokyo 2020 baik

Azizulhasni menunjukkan pingat perak kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas majlis penyampaian pingat acara akhir keirin lelaki di Izu Velodrom, Shizuoka hari ini. Foto Bernama
Azizulhasni menunjukkan pingat perak kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas majlis penyampaian pingat acara akhir keirin lelaki di Izu Velodrom, Shizuoka hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria masih menganggap pencapaian kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah baik walaupun tidak berjaya mencapai sasaran tiga pingat, dengan salah satunya emas.

Menurut Mohamad Norza, pencapaian satu pingat perak dan sebutir gangsa di Olimpik Tokyo yang berlangsung dalam cabaran pandemik Covid-19, menyamai pencapaian kedua terbaik kontinjen Malaysia ketika edisi London 2012.

“Kita berhadapan dengan krisis pandemik yang sangat teruk selama 18 bulan, Olimpik ditangguh setahun, atlet-atlet kita sangat tertekan di bawah gelembung sukan. Di samping itu, banyak kejohanan-kejohanan sukan telah ditangguhkan dan dibatalkan.

"Ini bukan Olimpik normal, atlet-atlet kita pada mulanya melayakkan diri walaupun keadaan sukar, kedua mencapai pencapaian yang membanggakan. Tahniah kepada semua pemenang pingat dan atlet yang berjuang bermati-matian atas nama negara di Tokyo,” katanya menerusi satu rakaman audio kepada media.

Edisi Tokyo 2020 yang berakhir Ahad, Malaysia meraih sebutir perak menerusi Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin dan gangsa menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton beregu lelaki.

Ia menyamai pencapaian pingat perak menerusi Datuk Lee Chong Wei (badminton perseorangan lelaki) dan gangsa Pandelela Rinong (terjun 10m platform wanita) di London, manakala pencapaian terbaik adalah di Rio 2016 apabila kontinjen negara pulang dengan empat perak dan satu gangsa.

Mengenai pencapaian Mohd Azizulhasni pada final keirin, Mohamad Norza berkata, ia merupakan sesuatu yang luar biasa dan menganggap pelumba berusia 33 tahun itu mempunyai semangat luar biasa dan keupayaan sebagai atlet berkelas dunia.

“Apa yang lebih menakjubkan adalah acara ini berlaku pada hari terakhir Tokyo 2020, tentu sahaja beban yang ditanggung Azizul sangat berat, tetapi dengan berkat dan doa semua rakyat Malaysia, akhirnya beliau bawa berita kegembiraan kepada kita pada hari ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Norza turut bersyukur kerana kesemua atlet negara yang menyertai temasya terbesar di dunia itu berada dalam keadaan yang selamat dan dilindungi daripada Covid-19.

Mengenai persiapan bagi Paris 2024, yang hanya tinggal tiga tahun lagi, Mohamad Norza berkata persiapan dan perancangan harus dimulakan dengan segera, serta percaya impian pingat emas pertama Malaysia dapat direalisasikan di Paris.

“Berdasarkan keputusan Tokyo 2020, kami boleh lihat kemunculan atlet muda seperti Lee Zii Jia, Aaron, Wooi Yik (badminton), Nur Dhabitah Sabri (terjun), Syaqiera Mashayikh (memanah) dan Azreen Nabila Alias (olahraga). Ini petanda baik untuk persiapan kita ke Paris.

“Saya percaya atlet senior seperti Pandelela, Azizul akan mempertimbangkan untuk bertanding lagi di Paris. Paris 2024 tinggal tiga tahun lagi, maka persiapan perlu bermula sekarang dan kami dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan persatuan sukan kebangsaan untuk menyediakan pelan yang lebih berani untuk sekali lagi cuba memperoleh pingat emas,” katanya. - Bernama