Baik pulih cerun Sungai Kelantan siap sebelum musim tengkujuh

Mustapa (dua dari kiri) bersama Hanifa (dua dari kanan) dan Kamal (kanan) mengadakan lawatan kerja ke kawasan projek pelaksanaan segera bagi menangani bencana runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas pada Ahad.
Mustapa (dua dari kiri) bersama Hanifa (dua dari kanan) dan Kamal (kanan) mengadakan lawatan kerja ke kawasan projek pelaksanaan segera bagi menangani bencana runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas pada Ahad.
A
A
A

PASIR MAS - [DIKEMAS KINI] Kerja-kerja membaiki cerun tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi di sini yang runtuh 17 Februari lalu membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM65 juta telah mula dilaksanakan pada Khamis lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peruntukan itu membabitkan kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor (RM45 juta), bayaran pampasan tanah dan bangunan (RM11 juta) serta kerja-kerja perundingan (RM9 juta).

"Komponen asas kepada projek ini melibatkan kerja-kerja mengorek pasir di kawasan seberang Pasir Mas, penstabilan tebing di lokasi runtuhan melibatkan kerja-kerja meletakkan batu-batu, membina benteng dan proses mengorek sungai," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan projek pelaksanaan segera bagi menangani bencana runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi pada Ahad.

Hadir sama Exco Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad; Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha.

ARTIKEL BERKAITAN: Tebing Sungai Kelantan runtuh

Menurutnya, kerajaan menyasarkan projek berkenaan akan siap sebelum 5 November depan iaitu sebelum musim tengkujuh.

"Kesemua kerja itu akan dijalankan secara serentak dan ia adalah langkah terbaik dalam membendung masalah tersebut.

"Walaupun 'kegawatan' politik sedang melanda negara selain ancaman Covid-19, kerajaan terus komited membantu menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata, kerajaan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan bagi memastikan projek berkenaan berjalan lancar.

"Bagi memastikan gerak kerja ini terus berjalan baik, kita telah bersetuju untuk membentuk Jawatankuasa Pemantauan yang diketuai oleh Hanifa selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir, Ahmad Fadhli dan Pengarah JPS Kelantan serta Ketua Jajahan Pasir Mas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian 17 Februari lalu melaporkan, sebanyak 15 keluarga yang tinggal di Kampung Pohon Celagi diarah berpindah segera selepas tebing Sungai Kelantan runtuh.